Sabtu, 1 Oktober 2016 | 11:24am

Johor komited perkasa bahasa kebangsaan

PENGERUSI Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Datuk Zulkurnain Kamisan. - Foto Hairul Anuar Abd
PENGERUSI Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Datuk Zulkurnain Kamisan. - Foto Hairul Anuar Abd

MUAR: Kerajaan Johor akan terus menyokong usaha memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, selain dijadikan sebagai bahasa muafakat Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Datuk Zulkurnain Kamisan, berkata bahasa kebangsaan bukan sahaja menjadi alat berkomunikasi, tetapi ia juga turut menjadi bahasa perpaduan rakyat berbilang kaum di negeri ini.

"Walaupun bahasa Inggeris perlu kita kuasai untuk saingan peringkat global, kerajaan negeri sentiasa memastikan kedudukan bahasa Melayu tidak dipandang remeh.

"Justeru, kerajaan negeri menyokong penuh acara ke arah memperkasakan bahasa kebangsaan dan sastera bagi dijadikan acara tahunan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Peringkat Negeri Johor dan Universiti Awam Malaysia 2016 di sini, malam tadi.

Teks ucapan beliau dibacakan Pegawai Daerah Muar, Ramlee A Rahman.

Yang turut hadir, Setiausaha Dua Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Usman Ibrahim; Pegarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Selatan, Abang Haliman Abang Julai dan Dekan Pusat Pembangunan dan Pengembangan Pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Prof Madya Dr Lokman Hakim Ismail.

Zulkurnain berkata, dalam memperkasakan program seperti itu, sokongan agensi lain termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu berperanan penting dalam mengangkat karya sastera yang menjadi wahana penyebaran bahasa kebangsaan.

"Ia penting dalam usaha kita memajukan dan menyemarak kegiatan bahasa, sastera dan persuratan khususnya di Johor. Dengan kerjasama seperti ini, bahasa Melayu akan terus diperkasa dan didaulat sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Negeri Johor," katanya.

Berita Harian X