Ahad, 25 September 2016 | 4:12pm

Johor peruntukan RM1.5j untuk program basmi dadah

NORMALA (kiri) menyaksikan Sidek (kanan) menyampaikan watikah pelantikan IKON AADK kepada Rahmat Mega selepas merasmikan Seminar Memperkasakan Komuniti Perangi Dadah Habis-habisan di Kompleks KDN Johor, hari ini. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin
NORMALA (kiri) menyaksikan Sidek (kanan) menyampaikan watikah pelantikan IKON AADK kepada Rahmat Mega selepas merasmikan Seminar Memperkasakan Komuniti Perangi Dadah Habis-habisan di Kompleks KDN Johor, hari ini. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor akan memperuntukkan RM1.5 juta tahun depan bagi membolehkan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) negeri melaksanakan pelbagai program menangani masalah dadah.

Pengarah AADK negeri, Sidek Jaffar, berkata peruntukan itu meningkat dari RM1 juta tahun ini yang menunjukkan kebimbangan dan usaha berterusan terhadap masalah dadah di negeri ini.

Katanya, AADK turut mengenal pasti 23 kawasan berisiko tinggi penagihan dadah di Johor termasuk Pasir Gudang yang menjadi kawasan perintis kepada Kempen Perangi Dadah Habis-Habisan (PDH) yang dimulakan sejak Februari lalu.

"Johor menduduki tempat keenam dalam masalah penagihan dadah atau purata enam orang sehari atau 188 penagih sebulan."

Bilangan penagih semakin meningkat serta membimbangkan dan usia mereka semakin rendah hingga mencapai usia di peringkat sekolah," katanya.

Beliau berkata demikian pada selepas penutup Program Seminar Memperkasa Komuniti PDH yang disempurnakan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Datuk Normala Abdul Samad di sini, hari ini.

Pada majlis itu, penyanyi Rahmat Mega turut menerima watikah pelantikan sebagai IKON AADK.

Sidek berkata, bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, sebanyak 5,034 penagih didaftarkan di bawah AADK Johor yang mana 25 peratus atau 1,218 daripadanya adalah kes berulang.

Katanya, pelbagai langkah diambil bagi menangani masalah dadah termasuk Pasir Gudang yang mencatatkan 428 Orang Kena Pengawasan (OKP) atau 26.7 peratus daripada 1,600 OKP di daerah ini sebagai perintis PDH.

Berita Harian X