Ahad, 11 September 2016 | 5:16pm

Laluan baharu galak kemasukan pelancong China

PENGERUSI Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Johor, Datuk Tee Siew Kiong bergambar bersama pelajar-pelajar pada Majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Cabang Johor Bahru di Sekolah Menengah Foon Yew di Johor Bahru, hari ini. - Foto Zain Ahmed

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri yakin kemasukan pelancong ke Johor khususnya dari China mampu dipertingkatkan dengan pengenalan beberapa laluan baharu secara terus dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS).

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Johor, Datuk Tee Siew Kiong, berkata laluan pertama penerbangan terus dari Guangzhou-Johor Bahru dan Johor Bahru-Guangzhou yang dilancarkan Mei lalu, ia mendapat sambutan menggalakkan daripada pelancong China.

"Laluan ini membabitkan penerbangan tujuh kali seminggu dan sejak diperkenalkan, kita mendapati lebih 14,000 pelancong China melawat Johor dengan purata 80 peratus penumpang setiap hari.

"Justeru, dalam usaha menggalakkan kemasukan lebih ramai pelancong dari China, mungkin kekerapan penerbangan antara kedua-dua laluan ini dapat dipertingkatkan, selain memikirkan laluan baharu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Cabang Johor Bahru di Sekolah Menengah Foon Yew di sini, hari ini.

Berita Harian X