Khamis, 21 Julai 2016 | 3:24pm

Barangan tiruan bernilai RM150,000 dilupus

PENGARAH Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Johor, Nor Nekman Jaimon (dua dari kanan) bersama Timbalan Pengarah Penguatkuasa KPDNKK Johor Bahru, Mohamad Mokhtar Yeop (kanan) melupuskan ekshibit kes barangan tiruan pada sidang media di stor KPDNKK Kempas, Johor Bahru. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

JOHOR BAHRU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Johor melupuskan pelbagai barangan jenama tiruan termasuk kasut dan beg bernilai kira-kira RM150,000, di sini, hari ini.

Pengarah, Nor Nekman Jaimon, berkata barangan itu hasil rampasan daripada 48 kes yang diselesaikan pihaknya dalam serbuan di seluruh Johor, sejak awal tahun ini.

Katanya, dalam serbuan terbaru kira-kira jam 1 petang semalam, pihaknya merampas pelbagai barangan berjenama tiruan termasuk kasut dan beg bernilai RM75,062 di tiga premis di Jalan Dedap 7, Taman Johor Jaya, dekat sini.

"Tindakan ini diambil selepas mendapati tiga premis terbabit disyaki membekal dan menjual barangan tiruan di sekitar pasar malam, pasar borong serta peniaga kedai runcit di negeri ini.

"Hasil siasatan mendapati ketiga-tiga premis itu sudah beroperasi antara tujuh bulan hingga empat tahun dengan menjual pelbagai jenama barangan tiruan," katanya pada sidang media sempena majlis pelupusan barangan terbabit di Stor KPDNKK Kempas, dekat sini, yang turut dihadiri Timbalan Pengarah KPDNKK Johor, Mohamad Mokhtar Yeop.

Nor Nekman berkata, sebanyak 10,196 unit barangan dirampas dan pihaknya akan menjalankan siasatan bagi mengenal pasti sumber bekalan barangan itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 8(2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 yang membawa hukuman denda RM10,000 bagi setiap barangan atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berita Harian X