Jumaat, 6 Mei 2016 | 4:57pm

Pemandu parah, bas ekspres langgar pokok

BOMBA mengeluarkan pemandu bas ekspres yang cedera parah selepas bas dipandunya terbabas dan merempuh pokok di Kilometer 82.0 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah Utara berhampiran Yong Peng. - Foto Ihsan Bomba

BATU PAHAT: Seorang pemandu bas ekspres parah selepas bas dipandunya terbabas dan merempuh pokok di Kilometer 82.0 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Yong Peng, dekat sini, tengah hari tadi.

Bagaimanapun, semua 30 penumpang bas yang dalam perjalanan dari Johor Bahru menuju Kuala Lumpur tidak mengalami kecederaan, dalam kemalangan jam 12 tengah hari itu.

Komander Operasi Bomba dan Penyelamat Ayer Hitam, Ramli Said, berkata sebuah jentera bersama tujuh anggota dikejarkan ke lokasi selepas menerima maklumat pada jam 12.07 tengah hari.

Katanya, anggota bomba menggunakan peralatan memotong bagi mengeluarkan pemandu bas yang tersepit di tempat duduk pemandu.

"Pemandu bas yang patah kaki dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail untuk rawatan," katanya.

Penumpang meneruskan perjalanan dengan menaiki bas gantian.

Berita Harian X