Jumaat, 8 April 2016 | 4:33pm

TMJ rasmi Masjid Sultan Iskandar

TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, berkenan merasmikan Masjid Sultan Iskandar Bandar Dato Onn di Johor Bahru, hari ini. - Foto Mohd Azren Jamaludin
TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, berkenan merasmikan Masjid Sultan Iskandar Bandar Dato Onn di Johor Bahru, hari ini. - Foto Mohd Azren Jamaludin

JOHOR BAHRU: Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, berkenan merasmikan Masjid Sultan Iskandar Bandar Dato Onn di sini, hari ini.

Tunku Ismail turut menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan dengan diimamkan Abdullah Embong yang juga Eksekutif Agama Wakaf An-Nur Corporation Bhd.

Turut berangkat, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim dan Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim.

Yang hadir sama, Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO); Yang Dipertua Majlis Jumaah Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli; serta Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp), Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim.

Masjid Sultan Iskandar yang sebelum ini dikenali sebagai Masjid Bandar Dato Onn, adalah masjid keenam dan terbesar dalam rangkaian Masjid An-Nur JCorp dan mampu memuatkan sehingga 4,600 jemaah dalam satu masa.

Masjid berkenaan dibina oleh Johor Land Bhd (JLand), syarikat dalam Kumpulan JCorp dengan kos RM28 juta di tapak seluas 2.2 hektar.

Mula dibina pada pertengahan tahun 2013 dan siap pada penghujung 2015, ia kini diuruskan oleh Waqaf An-Nur.

Kamaruzzaman berkata, antara kemudahan disediakan termasuk pejabat pengurusan, bilik kuliah dan pengajian, perpustakaan, dewan serta kemudahan untuk orang kurang upaya (OKU) seperti bilik air, ruang wuduk dan laluan khas.

Katanya, masjid itu mematuhi piawaian dan spesifikasi Sistem Penilaian Kualiti dalam Pembinaan (QLASSIC) oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).

"JLand sebagai pemaju Masjid Sultan Iskandar dianugerahkan Sijil QLASSIC pada 7 Mac lalu," katanya.

Berita Harian X