Ahad, 17 Januari 2016 | 7:25pm

Buang bayi: Teman lelaki remaja perempuan direman

SUSPEK ditahan reman untuk membantu siasatan penemuan bayi perempuan di Kampung Logah, Segamat. - Foto Ahmad Ismail
SUSPEK ditahan reman untuk membantu siasatan penemuan bayi perempuan di Kampung Logah, Segamat. - Foto Ahmad Ismail

SEGAMAT: Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun ditahan beberapa jam selepas penemuan seorang bayi perempuan yang baru dilahirkan di belakang rumah penduduk Kampung Logah di sini, semalam.

Siasatan polis berhubung kes itu yang disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran bayi itu turut membawa kepada penahanan seorang lelaki berusia 27 tahun yang juga teman lelaki remaja terbabit.

 

Ketua Polis Segamat, Superintenden Mohd Kamil Sukarmi, berkata siasatan mendapati suspek melahirkan anak berseorangan di dalam tandas di rumahnya kira-kira jam 1 pagi sebelum bayi itu ditemui di belakang rumah penduduk kira-kira enam jam kemudian.

 

Katanya, suspek dipercayai membuang bayi yang baharu dilahirkannya itu kerana bimbang perbuatannya itu dimarahi dan memalukan keluarga.

 

"Remaja terbabit ditahan beberapa jam selepas penemuan bayi itu oleh penduduk kampung dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Daerah Segamat (HDS).

 

"Teman lelakinya yang tidak mempunyai pekerjaan tetap ditahan kira-kira jam 6 petang semalam di rumahnya di Jementah dan turut direman tujuh hari bagi membantu siasatan," katanya di sini, hari ini.

Mohd Kamil berkata, pemeriksaan oleh pegawai perubatan HDS ke atas bayi berkenaan mendapati ada beberapa kesan calar di tangan kiri, belakang telapak tangan kiri dan lutut kiri namun dia kini dilaporkan dalam keadaan sihat.

 

Semalam akhbar melaporkan penduduk Kampung Logah dekat sini, terkejut selepas menjumpai seorang bayi perempuan ditinggalkan tanpa pakaian di atas rumput di belakang sebuah rumah di kawasan penempatan itu.

 

Bayi yang dianggarkan seberat dua kilogram dan masih bertali pusat itu ditemui kira-kira jam 7 pagi oleh seorang penduduk tidak jauh dari kediamannya.

Berita Harian X