Sabtu, 9 Januari 2016 | 5:36pm

Pengusaha papan iklan maut dihempap iklan

LOKASI kejadian papan iklan jatuh menimpa Fang Yoon Tat di Jalan Pee Kang Hai, Segamat, semalam. - Foto Ahmad Ismail
LOKASI kejadian papan iklan jatuh menimpa Fang Yoon Tat di Jalan Pee Kang Hai, Segamat, semalam. - Foto Ahmad Ismail

SEGAMAT: Seorang pengusaha papan iklan maut selepas dihempap papan iklan ketika memantau kerja pengubahsuaian di sebuah premis menjual cat di Jalan Pee Kang Hai di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, mangsa, Fang Yoon Tat, 60, cedera di kepala apabila papan iklan berukuran 20 x 30 meter jatuh menimpanya.

Beliau disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Daerah Segamat (HDS) kira-kira jam 10 malam tadi.

Pemilik premis perniagaan itu, Ng Wee Chun, 40, berkata ketika kejadian mangsa sedang memantau beberapa pekerjanya yang mengalihkan kedudukan papan iklan di tingkat atas bangunan dua tingkat.

"Ketika itu saya berada dalam kedai dan tiba-tiba bunyi sesuatu yang besar dan berat terjatuh di luar menyebabkan saya berlari keluar sebelum mendapati mangsa terbaring dihempap papan iklan gergasi yang sedang dialihkan beberapa pekerjanya.

"Sebaik papan iklan itu dialihkan dengan bantuan orang ramai, mangsa yang berlumuran darah di muka dan kepala itu terus dibawa ke hospital untuk rawatan," katanya ketika ditemui di kedainya, di sini hari ini.  

Difahamkan, papan iklan seberat dianggarkan melebihi 200 kilogram itu jatuh dari ketinggian kira-kira lima meter apabila salah satu daripada skru yang mengikatnya di dinding kedai berkenaan tertanggal.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Mohd Kamil Sukarmi ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

Berita Harian X