Jumaat, 8 Januari 2016 | 5:55pm

Solat Jumaat pertama di Masjid Bandar Dato' Onn

MASJID Bandar Dato Onn, Johor Bahru.
MASJID Bandar Dato Onn, Johor Bahru.

TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menandatangani buku perasmian sebelum menunaikan solat Jumaat bersama jemaah di Masjid Bandar Dato Onn, Johor Bahru.
TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menandatangani buku perasmian sebelum menunaikan solat Jumaat bersama jemaah di Masjid Bandar Dato Onn, Johor Bahru.

JOHOR BAHRU: Masjid Bandar Dato' Onn di sini yang menjadi masjid keenam dan terbesar dalam rangkaian Masjid An-Nur Johor Corporation (JCorp) yang mampu memuatkan hingga 4,600 jemaah, mengadakan solat Jumaat pertamanya hari ini.

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut berkenan berangkat menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan yang seni binanya daripada Masjid Empayar Uthmaniyyah.

Pengisytiharan kebenaran solat Jumaat pertama diumumkan oleh Kadi Daerah Johor Bahru, As-Syeikh Ahmad Hanif Naim.

Turut berlangsung ialah majlis penyerahan dokumen sebagai simbol penyerahan masjid daripada Pengarah Urusan Johor Land Bhd, Lukman Abu Bakar selaku Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Masjid Bandar Dato' Onn kepada Ketua Pegawai Eksekutif Waqaf An-Nur Corporation Bhd, Jamaludin Md Ali.

Masjid itu dibina oleh Johor Land Bhd, sebuah syarikat dalam kumpulan JCorp membabitkan kos sebanyak RM28 juta di atas tapak seluas 2.1 hektar.

Ia mula dibina pada pertengahan 2013 dan siap pada akhir tahun lalu, yang kini diuruskan oleh Waqaf An-Nur.

Lukman berkata, masjid berkenaan mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar melalui Mufti Negeri Johor dan Jabatan Agama Islam Negeri Johor untuk membenarkan masjid berkenaan memulakan solat Jumaat hari ini.

Berita Harian X