Sabtu, 13 Mei 2017 | 1:13pm

Tanah perkuburan Kampung Datuk berwajah baharu

Penduduk mengadakan gotong-royong di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kubur Datuk yang sebelum ini rosak akibat banjir.
Penduduk mengadakan gotong-royong di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kubur Datuk yang sebelum ini rosak akibat banjir.

KOTA BHARU: Selepas empat bulan kejadian Tanah Perkuburan Islam Kampung Kubur Datuk, Dalam Rhu, di sini rosak akibat banjir awal tahun lalu, kawasan itu kini 'berubah wajah'.

Kawasannya sudah ditambun dengan pasir supaya lebih tinggi malah lebih 7,000 belindan dicat baharu dalam kerja gotong-royong yang dilakukan oleh penduduk sekitar secara berkala sejak musibah itu.

Penghulu Mukim Kubur Datuk, Kampung Dalam Rhu, Rosili Mohd Noor, berkata dalam tempoh baikpulih itu, hampir RM20,000 kos yang digunakan bagi membuat pagar dan membeli peralatan baharu serta perbelanjaan kerja gotong-royong itu.

"Bagaimanapun kami masih lagi memerlukan kos untuk membuat saliran serta baikpulih sebahagian lagi pagar kerana khuatir kejadian itu (banjir) akan berulang lagi.

"Dianggarkan kira-kira RM40,000 lagi diperlukan dan buat masa ini kami bergantung kepada sumbangan orang perseorangan dan tabung kubur menjalankan kerja baik pulih ini," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Dalam kejadian banjir Januari lalu, lebih 100 kubur di tanah perkuburan itu rosak dipercayai disebabkan hakisan tanah yang berpunca dari arus deras di sekitar kawasan terbabit.

Gotong-royong diteruskan hari ini dengan pembabitan 30 anggota Skuadron 4 dari 50 Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) Pakar Pengendalian Keretapi yang bersama 50 penduduk kampung membaikpulih tanah perkuburan itu.

Pengurus Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Wilayah Timur, Zaid Ibrahim, berkata kerja sukarela itu adalah sebahagian daripada Program Jiwa Murni anggotanya bersama komuniti setempat.

Berita Harian X