Ahad, 7 Mei 2017 | 1:47pm

Nasib 4 beradik yatim piatu dapat pembelaan

ROZALINA Mokhtar (kanan) sumbangkan kerusi roda kepada empat beradik yatim piatu yang kehilangan ibubapa dalam satu kemalangan di Merchang baru baru ini, Danish Putra Badrul Hisham, 11 tahun, (belakang kanan), Dayini Putri, 9 tahun (kiri belakang), Darwish Putra, 4 tahun (kiri kerusi roda) dan Dayini putri, 9 tahun (dua kanan kerusi roda) disamping neneknya, Hasimah Mustaffa, 57 (kiri) di kediamannya di Taman Dahlia, Jalan Tekukur, Kuala Terengganu. - Foto Baharom Bakar

KUALA TERENGGANU: Nasib empat beradik yang yatim piatu selepas kedua-dua ibu bapa mereka maut dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 41, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan di Kampung Merchang, Marang di sini, Ahad lalu, mendapat simpati UMNO Bahagian Kuala Terengganu, hari ini.

UMNO Bahagian Kuala Terengganu menyumbangkan dua kerusi roda untuk anak mangsa, Dania Putri Badrul Hisham, 9, dan adiknya, Darwish Putra, 4, yang mengalami kecederaan parah di kaki dan pinggang.

Empat beradik iaitu Danish Putra, 11, Dania Putri, Dayini Putri, 7, dan Darwish Putra menjadi yatim piatu apabila ibu bapa mereka, Noor Amalia Noorizam, 34, dan Badrul Hisham Omar, 41, terbunuh selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) ketika dalam perjalanan ke Kemaman, kira-kira jam 6.25 petang, Ahad lalu.

Mereka kini dijaga datuk dan nenek mereka, Hasimah Mustaffa, 57, dan Noorzam Mohamed, 59, di Jalan Tekukur, Taman Dahlia, di sini.

Dalam kemalangan itu, Dania Putri mengalami kecederaan pada pinggang manakala Darwish Putra pula patah paha kiri hingga menyukarkan dua beradik itu untuk bergerak.

Sumbangan kerusi roda kepada Dania Putri dan Darwish Putra disampaikan Pegawai Pembangunan Kuala Terengganu, Rozalina Mokhtar yang mewakili Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Mohd Sabri Alwi.

Rozalina yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Kuala Terengganu berkata, selain sumbangan kerusi roda, seluruh kepimpinan parti mengadakan majlis tahlil dan doa selamat di kediaman Hasimah, Jumaat lalu.

Katanya, UMNO Bahagian Kuala Terengganu akan membantu dan memantau keperluan empat beradik berkenaan secara berterusan, termasuk bersedia membantu keperluan mereka.

Sementara itu, Hasimah yang juga kakitangan Jabatan Pembangunan Wanita negeri berkata, beliau akan memohon cuti tanpa gaji atau cuti separuh gaji untuk menjaga empat cucunya yang belajar di sebuah sekolah rendah di Chukai, Kemaman.

Berita Harian X