Rabu, 5 April 2017 | 4:47pm

Lelaki Bangladesh mati dalam bilik chalet

JERTIH: Seorang lelaki warga Bangladesh mati dalam bilik di sebuah chalet di pusat pelancongan Pulau Perhentian, dekat sini, semalam.

Mangsa yang dikenali sebagai Alimin, 34, yang juga pekerja chalet berkenaan, tinggal bersama seorang lagi rakan senegara sejak lima tahun bekerja di pulau itu.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi, berkata rakannya yang dikenali sebagai Ahidullah, 40, menyedari perkara itu pada jam 6.30 pagi semalam ketika bangun untuk solat subuh.

Katanya, ketika mengejutkan rakannya, mangsa didapati tidak sedar diri dan mengesyaki mangsa sudah meninggal dunia.

"Ahidullah kemudian memaklumkan kejadian itu kepada rakan lain yang kemudian membuat laporan di Balai Polis Pulau Perhentian," katanya.

Mohd Zamri berkata, mayat mangsa dibawa ke tanah besar dengan menggunakan bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Tok Bali, Pasir Puteh, Kelantan sebelum dihantar ke Hospital Besut untuk bedah siasat.

Berita Harian X