Jumaat, 10 Februari 2017 | 3:32pm

UniSZA, MAIDAM tubuhkan jawatankuasa wakaf

gn4id:18887368

KUALA NERUS: Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menjadi antara universiti perintis dalam membangunkan Dana Wakaf Universiti.

Naib Canselor UniSZA, Prof Datuk Dr Ahmad Zubaidi Abdul Latif, berkata penubuhan jawatankuasa bersama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) bertujuan memberi tumpuan kepada sumber alternatif dana dan penjanaan hasil melalui wakaf dan infaq.

Katanya, sejak ditubuhkan Ogos lalu, pihaknya berjaya mengumpulkan kutipan dana wakaf sebanyak RM3.46 juta hasil sumbangan orang ramai termasuk pihak industri.

"Pelaksanaan wakaf di UniSZA akan diuruskan oleh Pejabat Wakaf dan Infak UniSZA dan dipantau oleh Jawatankuasa Wakaf UniSZA yang berada di bawah MAIDAM.

"Model usaha sama ini agak unik dan berbeza dengan model pelaksanaan sedia ada di institusi pendidikan di Malaysia kerana struktur tadbir urusannya tidak terletak di bawah Lembaga Pengarah Universiti ataupun Pengurusan Universiti," katanya pada sidang media pelancaran penubuhan jawatankuasa berkenaan di UniSZA, Gong Badak, di sini, semalam.

Turut hadir Yang Dipertua MAIDAM, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Datuk Wan Mohd dan Lembaga Pengarah UniSZA, Datuk Wan Ismail Wan Yosoh.

Ahmad Zubaidi berkata, Dana Wakaf UniSZA adalah dana wakaf pendidikan menerusi sumbangan berbentuk tunai yang mana pewakaf mewakafkan kepada UniSZA sebagai pemegang amanah bagi kepentingan ilmu dan manfaat ummah sejagat.

"Antara usaha yang bakal digerakkan adalah Dana Wakaf Ilmu bagi membiayai keperluan di perpustakaan meliputi buku dan peralatan serta aktiviti pendidikan dan penerbitan.

"Selain itu, Dana Wakaf Peralatan Perubatan UniSZA, Dana Wakaf Bangunan Kompleks Pengajian Islam dan Dana Wakaf Rumah Rehat UniSZA juga bakal dilaksana untuk warga kampus dan masyarakat luar," katanya.

Berita Harian X