Selasa, 24 Januari 2017 | 8:02pm

Kes denggi tinggi di Kulim

ALOR SETAR: Sejumlah 95 kes demam denggi direkodkan di Kedah sepanjang tiga minggu pertama bulan ini, dengan Kulim mencatat peningkatan 325 peratus.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Norhizan Ismail, berkata sejumlah 34 kes direkodkan dalam 21 hari pertama tahun ini di Kulim, berbanding lapan kes bagi tempoh sama tahun lalu.

"Kes denggi di Kulim perlu diberi perhatian serius dan lima lokaliti denggi dikesan aktif ketika ini dengan satu daripadanya di Taman Sungai Kob, susulan 11 kes dicatatkan.

"Wabak denggi di lokaliti itu direkod bermula 8 Januari lalu.

"Empat lokaliti lain ialah pekan Serdang di Bandar Baharu dengan dua kes, Taman Ria Jaya Zon Satu di Kuala Muda dengan empat kes, Taman Bandar Baharu III di Kuala Muda dengan enam kes dan Kampung Padang Lalang di Langkawi yang mencatat empat kes denggi," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dr Norhizan berkata, enam daerah lain turut menunjukkan peningkatan kes termasuk Langkawi yang merekodkan tujuh kes tahun ini, berbanding tiada kes sepanjang tiga minggu pertama tahun lalu.

"Padang Terap turut meningkat dengan empat kes berbanding satu kes tahun lalu, diikuti Kubang Pasu dengan sembilan kes berbanding empat, Bandar Baharu dengan empat kes berbanding dua serta Sik dan Pendang yang masing-masing mencatat tiga dan satu kes berbanding sifar tahun lalu," katanya.

Beliau berkata, pihaknya melaksanakan tindakan pencegahan dan kawalan demam denggi dengan melakukan pemeriksaan pembiakan aedes ke atas 32,211 premis.

Katanya, 703 daripadanya mempunyai pembiakan jentik-jentik.

"Jabatan mengeluarkan 395 kompaun bernilai RM197,500 mengikut Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 dan 140 Notis Seksyen 8 dikeluarkan bagi arahan kerja pembersihan serta pemusnahan tempat berpotensi pembiakan aedes," katanya.

Berita Harian X