Isnin, 16 Januari 2017 | 6:25pm

37,052 unit rumah PR1MA di Pahang

PENGERUSI Jawatankuasa Perumahan Dan Perbandaran Negeri, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (tengah) merasmikan rumah contoh PR1MA di Kuala Lanar, Perlis sambil disaksikan ADUN Cheka, Datuk Fong Koong Fuee (kiri). - Foto Roselan Ab Malek
PENGERUSI Jawatankuasa Perumahan Dan Perbandaran Negeri, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (tengah) merasmikan rumah contoh PR1MA di Kuala Lanar, Perlis sambil disaksikan ADUN Cheka, Datuk Fong Koong Fuee (kiri). - Foto Roselan Ab Malek

LIPIS: Sebanyak 102 projek Program Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA) yang menawarkan 37,052 unit rumah mampu milik disediakan kerajaan di seluruh daerah di Pahang.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan Dan Perbandaran Negeri, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata daripada jumlah itu, tiga projek PR1MA dengan 692 unit rumah sudah siap sepenuhnya dan diberi kunci kepada pemiliknya.

Beliau berkata, daripada jumlah keseluruhan projek itu, 18 projek dengan jumlah 5,416 unit rumah pula masih dalam peringkat pembinaan manakala 20 projek lagi dengan 5,939 unit rumah akan memulakan kerja kerja pembinaan dalam masa terdekat.

"Selebihnya, sebanyak 61 projek rumah PR1MA di Pahang sedang dalam peringkat kelulusan dan penyediaan permohonan kebenaran merancang. Usaha ini membuktikan kerajaan negeri sentiasa peka dengan kehendak dan kesejahteraan kehidupan rakyat untuk memiliki rumah mampu milik sendiri," katanya ditemui pada majlis perasmian rumah contoh projek PR1MA di Kuala Lanar di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cheka, Datuk Fong Koong Fuee dan Pegawai Daerah Lipis, Datuk A Rahman Hamzah.

Wan Rosdy yang juga ADUN Jelai berkata, 37,502 unit rumah yang akan dibina itu melebihi sasaran 15,000 rumah PR1MA yang perlu dibina dalam tempoh lima tahun sejak tahun 2013.

Beliau berkata, setiap rumah berharga tidak lebih RM150,000 dengan potongan 10 peratus bagi kakitangan kerajaan dan harganya lebih murah berbanding rumah dibina pemaju swasta lain.

"Dalam daerah Lipis, sebanyak tiga projek rumah PR1MA dibina iaitu dua di Kuala Lanar dan satu di Tempoyang dengan jumlah rumah sebanyak 742 unit keseluruhannya," katanya.

Wan Rosdy juga berkata, perumahan PR1Ma mendapat sambutan yang baik daripada rakyat negeri ini dan sehingga kini, 24,759 permohonan berdaftar diterima menerusi e-Perumahan.

Berita Harian X