Rabu, 11 Januari 2017 | 12:19pm

70 anggota bersih Balai Polis Kuala Jambu

GOTONG-ROYONG membersih Balai Polis Kuala Jambu mula dilakukan hari ini. - Foto Nik Abdullah Nik Omar
GOTONG-ROYONG membersih Balai Polis Kuala Jambu mula dilakukan hari ini. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

TUMPAT: Selepas seminggu tidak beroperasi banjir, gotong-royong membersih Balai Polis Kuala Jambu mula dilakukan hari ini.

Seramai 70 anggota polis dari balai berhampiran termasuk Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat turun padang bersama-sama dalam gotong-royong yang bermula sejak jam 8 pagi tadi.

Dalam kejadian banjir baru-baru ini, balai polis itu dinaiki air sehingga 1.5 meter dan menjadikan operasi di balai itu terjejas.

Ketua Polis daerah, Superintendan Zaharuddin Rasip yang turut hadir dalam gotong-royong itu, berkata meskipun balai itu tidak beroperasi ketika tempoh banjir, anggota balai itu tetap bertugas.

"Seramai sembilan anggota balai yang bertugas beroperasi di kuarters. Semua dokumen dan senjata api dibawa ke balai polis Pengkalan Kubor sehari sebelum banjir," katanya.

Sepanjang musim banjir, Zaharuddin berkata pihaknya menugaskan dua pasukan untuk menjalankan operasi menyelamat dan rondaan cegah jenayah.

Operasi pembersihan pagi ini merangkumi kerja-kerja mencuci kuarters, memindahkan semula peralatan balai, memotong rumput dan membaiki pagar.

Sementara itu, satu-satunya anggota wanita di balai terbabit, Sarjan Mejar Salmah Shapii, berkata air mulai naik pada 3 Januari dan beliau segera mengarahkan lapan anggotanya bersiap sedia.

"Selama seminggu kami berkampung di balai ini bagi operasi menyelamat penduduk kampung serta cegah jenayah di kawasan terjejas banjir," katanya.

Berita Harian X