Ahad, 20 November 2016 | 6:45pm

2,000 pil kuda bernilai RM40,000 dirampas

KETUA Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Nik Aminuddin Raja Abdullah menunjukkan pil kuda dianggarkan bernilai RM40,000 yang dirampas di Kampung Padang Melintang, Bachok, malam tadi. - Foto Nor Amalina Alias
KETUA Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Nik Aminuddin Raja Abdullah menunjukkan pil kuda dianggarkan bernilai RM40,000 yang dirampas di Kampung Padang Melintang, Bachok, malam tadi. - Foto Nor Amalina Alias

BACHOK: Polis menahan seorang jurujual pakaian terpakai bersama 2,000 biji pil kuda dianggar bernilai RM40,000 di tepi jalan Kampung Padang Melintang di sini, jam 10.30 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Nik Aminuddin Raja Abdullah, berkata suspek berusia 24 tahun itu ditangkap pasukan anggota Jabatan Narkotik Ibu Pejabat Polis (IPD) Bachok.

Katanya, suspek ditahan ketika berada dalam sebuah kereta Perodua Kelisa dan dipercayai menunggu pelanggan.

"Pemeriksaan ke atas kereta suspek membawa kepada penemuan sebungkus kertas berwarna kekuningan di alas kaki tempat duduk penumpang yang mengandungi 10 paket kecil berwarna biru," katanya dalam sidang media di IPD Bachok, hari ini.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut polis mendapati setiap paket biru itu mengandungi 200 biji pil iaitu 198 pil berwarna merah dan dua biji pil berwarna hijau, dipercayai pil kuda.

"Keseluruhannya kita menemui 1,980 pil merah dan 20 pil hijau dengan anggaran nilai RM40,000," katanya.

Suspek yang berasal dari Binjai, Kota Bharu itu tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan direman tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut.

Berdasarkan soal siasat awal, suspek mengaku mendapatkan bekalan dadah di Kota Bharu dan menjadi pengedar di sekitar Bachok sejak tiga bulan lalu," katanya.

Berita Harian X