Isnin, 7 November 2016 | 12:23pm

Kerajaan negeri tidak kompromi guru terbabit dadah

TIMBALAN Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi kerajaan, Bazlan Abd Rahman melawat calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terpaksa menduduki peperiksaan itu di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, pagi ini. - Foto Aswadi Alias
TIMBALAN Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi kerajaan, Bazlan Abd Rahman melawat calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terpaksa menduduki peperiksaan itu di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, pagi ini. - Foto Aswadi Alias

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri tidak akan berkompromi dan meminta Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) mengambil tindakan tegas jika ada warga pendidik terbabit dengan penyalahgunaan dadah.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi kerajaan, Bazlan Abd Rahman berkata, JPN perlu bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) untuk mengadakan ujian saringan air kencing ke atas guru bagi membendung kes penyalahgunaan dadah di kalangan warga pendidik.

Katanya, kerajaan negeri menyokong penuh tindakan Kementerian Pendidikan yang memberi kuasa kepada JPN mengadakan ujian saringan air kencing ke atas guru di sekolah.

"Warga pendidik adalah penjawat awam bukan sahaja menjadi pembimbing kepada pelajar, malah turut dijadikan model serta rujukan oleh masyarakat," katanya ketika ditemui selepas melawat empat calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terpaksa menduduki peperiksaan itu di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, pagi ini.

Turut hadir Timbalan Pengarah HSNZ, Dr Ahmad Naziri Mohd Nasir serta Ketua Sektor Penilaian dan Peperiksaan Jabatan Pendidikan negeri, Mohamed Embong.

Bazlan yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Batu Rakit berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang dilaporkan memberi kuasa kepada JPN untuk menjalankan ujian saringan air kencing ke atas guru di sekolah dalam usaha membendung kes penyalahgunaan dadah dalam kalangan warga pendidik.

Mahdzir berkata demikian ketika mengulas penahanan seorang guru sekolah menengah di Lawas, Sarawak kerana disyaki mengedar dadah jenis syabu.

Bazlan berkata, JPN dan PDRM serta AADK perlu menggunakan kaedah bersesuaian untuk melakukan ujian saringan air kencing kepada warga pendidik yang disyaki terbabit dengan gejala dadah bagi mengelakkan dipandang serong oleh pelajar serta masyarakat.

Berita Harian X