Ahad, 2 Oktober 2016 | 2:31pm

Tiga sahabat maut kemalangan

SALAH seorang mangsa yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Salor Baru, Kota Bharu, tengah malam tadi. - Foto ihsan pembaca
SALAH seorang mangsa yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Salor Baru, Kota Bharu, tengah malam tadi. - Foto ihsan pembaca

KOTA BHARU: Tiga sahabat maut selepas motosikal yang mereka tunggangi secara berasingan bertembung dengan dua kenderaan di Jalan Salor Baru, di sini, tengah malam tadi.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam itu, mangsa yang maut adalah Koh Kok Penn, 22; Wee Teck Ming, 19, dan Tan Cheng Ming, 15, akibat parah di kepala dan badan.

Semua mangsa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Baharom Abu berkata, ketika kejadian semua mangsa menunggang motosikal dari Kota Bharu menghala ke Pasir Mas.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, Cheng Ming yang menunggang motosikal jenis Yamaha RXZ bertembung sebuah kereta jenis Proton Satria yang datang dari arah bertentangan.

"Dua lagi mangsa yang masing-masing menunggang motosikal jenis Yamaha 125Z cuba mengelak kemalangan itu, merempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan Frontier yang datang dari arah bertentangan.

"Akibat rempuhan kuat itu, ketiga-tiga mangsa maut di tempat kejadian akibat parah dan dibawa ke HRPZ II untuk bedah siasat," katanya.

Baharom berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X