Jumaat, 23 September 2016 | 3:49pm

Pelajar maut dirempuh kereta

MOHAMAD Fitri maut manakala rakannya cedera ringan dalam kemalangan yang membabitkan sebuah motosikal dan dua kereta di Jalan Sultan Yahya Petra, di Kota Bharu. - Foto Muhammad Sufian Rosli
MOHAMAD Fitri maut manakala rakannya cedera ringan dalam kemalangan yang membabitkan sebuah motosikal dan dua kereta di Jalan Sultan Yahya Petra, di Kota Bharu. - Foto Muhammad Sufian Rosli

KOTA BHARU: Seorang pelajar Maktab Sultan Ismail (SIC) maut manakala rakannya cedera ringan dalam kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan dua kereta di Jalan Sultan Yahya Petra di sini, awal pagi tadi.

Mohamad Fitri Mohd Zaini, 17, yang membonceng motosikal jenis MODENAS Kriss, meninggal dunia di tempat kejadian akibat dirempuh kereta jenis Honda dalam kejadian kira-kira 1.30 pagi itu.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Baharom Abu, berkata mangsa bersama rakannya yang menunggang motosikal dipercayai cuba melintas ke kanan jalan untuk membuat pusingan U menghala ke Kubang Kerian.

"Ketika cuba melakukan pusingan U, sebuah kereta jenis PROTON Saga dari arah Kubang Kerian ke Kota Bharu di belakang mangsa sempat membunyikan hon sebelum mangsa mengelak ke kiri jalan.

"Ketika beralih ke kiri, sebuah kereta jenis Honda dari arah Kubang Kerian ke Kota Bharu dipercayai tidak sempat mengelak lalu merempuh motosikal dinaiki mangsa serta PROTON Saga terbabit.

"Kejadian menyebabkan mangsa cedera parah di kepala dan badan sebelum meninggal dunia di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat manakala kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X