Selasa, 23 Ogos 2016 | 5:26pm

7 kematian akibat denggi di Pahang

KUANTAN: Tujuh kematian akibat demam denggi dicatatkan di negeri ini, dari Januari hingga kelmarin, berbanding enam kematian dalam tempoh sama tahun lalu.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar, berkata daerah Kuantan mencatatkan kes kematian paling ramai iaitu tiga kes, diikuti Bera (2 kes) dan masing-masing satu kes di Maran dan Pekan.

Katanya, untuk tempoh sama, sebanyak 1,731 kes demam denggi dilaporkan di negeri ini, iaitu peningkatan satu kes berbanding tempoh sama tahun lalu.

"Daerah Kuantan mencatatkan kes demam denggi tertinggi iaitu sebanyak 1,000 kes, diikuti Temerloh (245 kes), Maran (127 kes), Jerantut (111 kes), Raub (71 kes), Bera (46 kes), Pekan (45 kes), Bentong (34 kes), Rompin (30 kes), Lipis (21 kes) dan Cameron Highlands (1 kes)," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya juga sudah melaksanakan tindakan pencegahan dan kawalan kes demam denggi dengan melakukan semburan kabus di 702,801 premis.

"Selain itu, kami turut membuat pemeriksaan pembiakan aedes di 282,877 premis dan sebanyak 124,080 premis sudah dibubuh abate bagi memusnahkan pembiakan jentik-jentik.

"Sebanyak 895 kompaun dengan nilai RM447,500 sudah dikeluarkan kepada penduduk kerana melakukan pelbagai kesalahan membabitkan denggi," katanya.

Sebanyak 416 Notis Seksyen 8 juga sudah dikeluarkan bagi arahan kerja pembersihan dan pemusnahan tempat berpotensi pembiakan Aedes.

Berita Harian X