Ahad, 24 Julai 2016 | 11:03am

Pahang rekod 1,441 kes denggi

KUANTAN: Sejumlah 1,441 kes denggi direkodkan di seluruh negeri ini sejak Januari hingga Khamis lalu, dengan daerah ini terus menjadi penyumbang paling tinggi membabitkan 860 kes.

Data Jabatan Kesihatan negeri menunjukkan Temerloh mencatat 191 kes diikuti Maran (107), Jerantut (91), Raub (43), Bera (38), Bentong (31), Rompin (28), Lipis (14) dan satu kes di Cameron Highlands.

Enam kematian akibat denggi dicatat bagi tempoh itu iaitu tiga di Kuantan dan masing-masing satu di Maran, Pekan serta Bera.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar, berkata kes denggi di seluruh negeri mencatat penurunan 42 kes berbanding tempoh sama pada tahun lalu dengan 1,483 kes.

"Ada empat wabak aktif di Pahang di daerah Kuantan, Temerloh dan Jerantut.

"Kawasan di Temerloh ialah Taman Rimba 4 (dua kes) serta Taman Temerloh Jaya 7 (lima) manakala di Jerantut, FELDA Kota Gelanggi (empat) dan Kuantan di Taman Seriku Fasa 2 (enam)," katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Dr Zainal Ariffin berkata, pihaknya melakukan aktiviti pencegahan dan kawalan denggi menerusi melakukan semburan kabus terhadap 606,296 premis serta pemeriksaan pembiakan aedes ke atas 245,589 premis.

"Sebanyak 105,305 premis diletak abate bagi pemusnahan jentik-jentik, selain 363 gotong-royong dengan penyertaan 19,088 penduduk.

"Sebanyak 795 kompaun dianggar bernilai RM397,500 dikeluarkan terhadap pemilik premis, 369 kompaun notis Seksyen 8 dikeluarkan bagi arahan kerja pembersihan dan pemusnahan tempat berpotensi pembiakan aedes," katanya.

Beliau berkata, hujan dan panas silih berganti ketika kini berkemungkinan besar menyebabkan peningkatan kes denggi.

Berita Harian X