Khamis, 16 Jun 2016 | 1:26pm

15 tapak semaian biak aedes

Pengarah Kesihatan Pahang, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar
Pengarah Kesihatan Pahang, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar

KUANTAN: Sebanyak 15 tapak semaian di negeri ini dikesan menjadi kawasan pembiakan nyamuk aedes oleh Jabatan Kesihatan Negeri dalam Ops Gempur Aedes, kelmarin.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar, berkata dalam operasi yang diadakan serentak di seluruh negeri, sebanyak 68 tapak semaian diperiksa dan 15 daripadanya didapati positif menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.

Daripada jumlah itu, katanya, empat tapak semaian ialah di daerah Bera, tiga masing-masing di Jerantut dan Maran, dua di Rompin manakala masing-masing satu di Temerloh, Lipis dan Cameron Highlands.

"Semua pengusaha tapak semaian berkenaan dikenakan kompaun RM500 atas kesalahan pertama dilakukan.

"Jika gagal membayar kompaun, mereka boleh didakwa di mahkamah mengikut Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (Pindaan 2000) dan jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara atau kedua-dua sekali," katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Dr Zainal Ariffin berkata, penemuan tempat pembiakan nyamuk aedes di tapak semaian menunjukkan sikap segelintir masyarakat yang suka membuang sampah merata-rata.

"Tin sardin, dulang peti sejuk, bekas air minuman ayam dan tayar terpakai terbiar menjadi punca tempat pembiakan jentik-jentik yang ditemui di tapak semaian dalam operasi berkenaan.

"Alas pasu, baldi, penyiram air, bekas polisterina, kereta sorong dan tangki air yang ditemui turut menjadi tempat pembiakan jentik-jentik," katanya.

Beliau berkata, operasi pengukuhan kawalan denggi akan diperluas kepada tapak pembinaan, bengkel, bangunan guna sama seperti tempat ibadat, sekolah, hotel, pejabat dan pasar raya dalam masa terdekat.

"Kita mengurangkan peningkatan denggi di Pahang dan tindakan penguatkuasaan perlu dibuat bagi menyokong tindakan kawalan sedia ada," katanya.

Berita Harian X