Ahad, 5 Jun 2016 | 1:53pm

Budak tujuh tahun maut nahas di LPT2

DUNGUN: Seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun maut selepas kenderaan pacuan empat roda dipandu bapanya terbabit kemalangan di Kilometer 333.5, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2), dekat Paka, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.10 pagi itu, Amni Khatijah Amirruddin, maut selepas tercampak keluar dari kenderaan dan disahkan meninggal di Pusat Kesihatan Ketengah Jaya, di sini.

Kejadian dipercayai berlaku apabila Toyota Hilux dipandu Amirruddin Mamat, 39, dari arah Paka ke Kuala Terengganu dilanggar sebuah kereta Toyota Camry di bahagian tepi, yang datang dari arah belakang.

Keadaan itu menyebabkan pacuan empat roda itu hilang kawalan sebelum beberapa kali terbalik menyebabkan mangsa tercampak keluar.

Ketika kejadian, isteri Faridatulakhmal Mohd, 37, dan tiga lagi anak mereka Ammar Yusof, 10; Fariz Ismail, 9; dan Fahim Abdullah, 2, dalam perjalanan dari Felda Kerteh 4 di sini, untuk melawat ahli keluarga di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

Ketua Polis daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacub ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai dan melulu sehingga menyebabkan kematian.

Berita Harian X