Jumaat, 27 Mei 2016 | 3:35pm
ABDUL Rahman Mohamed Zaidi maut di tempat kejadian.
ABDUL Rahman Mohamed Zaidi maut di tempat kejadian.

Maut dirempuh lori balak ketika menunggu makanan

KEADAAN lori balak yang merempuh kedai makan di Kilometer 41.2 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, di Bandar Chiku, Gua Musang, malam tadi.
KEADAAN lori balak yang merempuh kedai makan di Kilometer 41.2 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, di Bandar Chiku, Gua Musang, malam tadi.

GUA MUSANG: Seorang maut, manakala dua cedera apabila sebuah lori balak terbabas sebelum merempuh kedai makan, di Kilometer 41.2 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, di Bandar Chiku, dekat sini, malam tadi.

Mangsa yang maut di tempat kejadian ialah mandur Ladang Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) KESEDAR Chalil, Abdul Rahman Mohamed Zaidi, 23, manakala yang cedera pemandu lori, Ghazali Yazid, 56, dan Yusman Azuan Syakri, 21.

Kejadian kira-kira jam 9.09 malam itu membabitkan lima kenderaan termasuk sebuah kereta Proton Wira dan tiga motosikal yang diletakkan di bahu jalan depan kedai terbabit turut dirempuh lori balak terbabit yang tidak membawa muatan.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Saiful Bahri Abdullah berkata, kejadian berlaku ketika lori berkenaan dalam perjalanan dari Gua Musang menuju Kuala Krai yang tiba-tiba terbabas lalu merempuh empat kenderaan terbabit.

Katanya, ketika kejadian Abdul Rahman sedang menunggu makanan yang dipesan bersama Yusman Azuan sambil berbual dalam kedai makan terbabit.

"Tiba-tiba lori balak tanpa muatan itu terbabas menuju arah mereka menyebabkan mangsa dirempuh manakala rakannya cedera.

"Mangsa diseret kira-kira 10 meter oleh lori terbabit bersama kereta Proton Wira ke dalam kedai makan berkenaan," katanya di sini.

Saiful Bahri berkata, mangsa yang cedera, pemandu lori Ghazali yang tersepit di tempat duduk pemandu dan pelanggan kedai makan dikenali Yusman Azuan.

Katanya, kedua-dua mereka dihantar ke Pusat Kesihatan Bandar Chiku untuk menerima rawatan sebelum di rujuk ke Hospital Gua Musang (HGM) bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Katanya, kejadian dikatakan berpunca daripada stereng lori terbabit yang gagal berfungsi dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Berita Harian X