Khamis, 26 Mei 2016 | 4:05pm

4 mati akibat denggi di Pahang

KUANTAN: Empat kematian daripada 751 kes demam denggi dicatatkan Jabatan Kesihatan Pahang dengan dua direkodkan di daerah ini dan masing-masing satu di Pekan serta Maran sehingga 9 Mac lalu.

Daerah Kuantan juga mencatat kes denggi tertinggi iaitu 425 kes diikuti Temerloh (111 kes), Maran (61 kes), Jerantut (45 kes), Bentong (23 kes), Raub (23 kes), Pekan (21 kes), Bera (21 kes), Rompin (17 kes) dan Lipis (empat kes).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-Tugas Khas, Datuk Norol Azali Sulaiman, berkata bagaimanapun sejak kebelakangan ini kes itu menunjukkan sedikit penurunan hasil tindakan bersepadu dan berterusan semua pihak terbabit terutama keprihatinan masyarakat di kawasan perumahan.

"Kerajaan negeri melalui Jabatan Kesihatan mengambil langkah pencegahan serius dalam usaha menangani demam denggi di seluruh negeri bagi memastikan masyarakat bebas daripada wabak itu.

"Antara langkah pencegahan dilakukan adalah mengadakan gotong-royong komuniti bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Program Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (COMBI) serta agensi kerajaan dan swasta," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Norol Azali berkata, turut diadakan adalah pemeriksaan dan penghapusan pembiakan jentik-jentik di kawasan perumahan, rumah ibadat, taman permainan dan kawasan berkemungkinan berlaku pembiakan nyamuk aedes.

Selain itu, katanya, pemeriksaan berterusan dan Ops Gempur turut dilakukan di tempat berisiko tinggi seperti tapak pembinaan, tanah dan lot kosong serta kawasan perkilangan termasuk semburan 'larvaciding' ke tempat pembuangan sampah dan lorong belakang premis.

"Bagi memastikan masyarakat lebih prihatin dalam soal kesihatan, kempen dan ceramah di kawasan penduduk berisiko diadakan selain mewujudkan kumpulan melalui aplikasi WhatsApp komuniti untuk hebahan berkaitan denggi," katanya.

Berita Harian X