Sabtu, 14 Mei 2016 | 4:42pm

217 pasangan selamat nikah percuma

ANTARA 33 pasangan pengantin baru yang menyertai majlis perkahwinan perdana pada Majlis Akad Nikah Keluarga TTB: Perkahwinan TTB (Transformasi Terengganu Baharu) 2016 di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang. - Foto Aswadi Alias.
ANTARA 33 pasangan pengantin baru yang menyertai majlis perkahwinan perdana pada Majlis Akad Nikah Keluarga TTB: Perkahwinan TTB (Transformasi Terengganu Baharu) 2016 di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang. - Foto Aswadi Alias.

KUALA TERENGGANU: Seramai 217 pasangan selamat dinikahkan pada Majlis Akad Nikah Keluarga TTB: Perkahwinan TTB (Transformasi Terengganu Baharu) 2016 di lapan masjid seluruh daerah di negeri ini.

Semua pasangan yang memakai busana putih tajaan kerajaan negeri itu dinikahkan oleh 70 juru nikah dari daerah masing-masing, bermula jam 9 pagi hingga 11 pagi tadi.

Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu, Shafaruddin Mustaffa, berkata semua pasangan yang diijab kabul hari ini akan dirai dalam majlis resepsi 22 Mei ini.

"Hari ini, pengantin hanya membawa mas kahwin dan beberapa ahli keluarga terdekat termasuk saksi.

"Jamuan untuk ahli keluarga juga ditaja oleh kerajaan negeri. Pada 22 Mei ini, segala adat istiadat perkahwinan akan dilaksanakan dan kita harap ia berjalan lancar," katanya.

Beliau berkata, semua pengantin yang akan dirai di lokasi terpilih setiap negeri termasuk Wisma Darul Iman, akan diarak sebelum bersanding dan makan beradab.

Selepas selesai, semua pasangan akan menerima Sijil Simpanan Premium bernilai RM1,000 untuk permulaan simpanan oleh kerajaan negeri selain baucar RM200 daripada CELCOM Malaysia.

Berita Harian X