Jumaat, 29 April 2016 | 4:52pm

PVATM Pasir Tumboh perbanyak Program Jiwa Murni

SEBAHAGIAN daripada 70 ahli PVATM cawangan Pasir Tumboh bergambar kenangan bersama penduduk selepas menyertai gotong-royong membersihkan kawasan tanah perkuburan Islam di Kampung Belimbing Pendek, Kota Bharu. - Foto Ismail Muhamad
SEBAHAGIAN daripada 70 ahli PVATM cawangan Pasir Tumboh bergambar kenangan bersama penduduk selepas menyertai gotong-royong membersihkan kawasan tanah perkuburan Islam di Kampung Belimbing Pendek, Kota Bharu. - Foto Ismail Muhamad

KOTA BHARU: Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) cawangan Pasir Tumboh mengatur lebih banyak program Jiwa Murni, dalam usaha menggerakkan kegiatan kemasyarakatan bersama penduduk setempat.

Ketuanya, Mat Hassan Abdul Rahman, berkata program berkenaan membabitkan kegiatan seperti gotong-royong membersihkan kawasan perkuburan dan aktiviti kemasyarakatan setempat berkaitan.

"Program ini berupaya mendekatkan hubungan dengan penduduk selain mengukuhkan semangat penyatuan dalam kalangan masyarakat tanpa mengira fahaman politik.

"Ia dengan sendirinya membolehkan PVATM bersatu dengan masyarakat," katanya pada sidang media selepas mengetuai program Jiwa Murni PVATM cawangan Pasir Tumboh di Kampung Belimbing Pendek di sini, hari ini.

Seramai 70 ahli PVATM cawangan Pasir Tumboh dan penduduk kampung berkenaan menyertai gotong-royong membersih kawasan perkuburan Islam Kampung Belimbing Pendek.

Mat Hassan berkata, program Jiwa Murni menghidupkan budaya gotong-royong yang menjadi amalan kehidupan masyarakat terdahulu dan wajar diteruskan kerana banyak menyumbang dalam penyatuan masyarakat.

Berita Harian X