Selasa, 19 April 2016 | 1:12pm

Dua lokasi untuk bina Rumah Makmur di Pahang 

Datuk Seri Muhammad Safian Ismail
Datuk Seri Muhammad Safian Ismail

KUANTAN: Kerajaan Pahang sudah mengenal pasti dua lokasi bagi memulakan projek Rumah Makmur yang bakal ditawarkan kepada orang ramai yang layak pada harga bawah RM80,000.

Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail, berkata lokasi berkenaan ialah di Kampung Tiram dan Jalan Pekan-Kuantan, dekat sini.

"Untuk projek Rumah Makmur ini, kerajaan negeri sudah meluluskan tapak seluas kira-kira 40.4 hektar di Kampung Tiram dan 40.4 hektar lagi di kawasan berhampiran Indera Sempurna, Jalan Pekan-Kuantan.

"Mengikut perancangan kerajaan negeri, sebanyak 200 unit rumah akan dibina di lokasi terbabit dan harga ditetapkan ialah bawah RM80,000.

"Ini bukti komitmen kerajaan negeri untuk memastikan lebih ramai rakyat Pahang memiliki kediaman sendiri dan kita minta mereka yang layak membuat permohonan kepada pejabat Setiausaha Kerajaan negeri dengan segera," katanya ketika dihubungi di sini, sebentar tadi.

Muhammad Safian berkata, projek Rumah Makmur ini sebahagian daripada perancangan kerajaan negeri, selain membina rumah Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Pahang untuk rakyat di negeri ini.

Katanya, setakat ini kira-kira 33,000 unit PR1MA Pahang sudah diluluskan pembinaannya dan projek PR1MA Pahang di Bera dan Gambang sudah mengadakan majlis penyerahan kunci kepada pemilik awal tahun ini.

Berita Harian X