Isnin, 11 April 2016 | 4:07pm

Denggi di Kelantan meningkat 272 kes

KOTA BHARU: Sebanyak 834 kes denggi dilaporkan di Kelantan dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, berbanding hanya 558 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Mahir, berkata daripada jumlah berkenaan, satu kematian direkodkan, berbanding tiga kematian bagi tempoh sama tahun lalu.

Katanya, berdasarkan statistik tahun ini menunjukkan peningkatan sebanyak 272 kes atau 48.4 peratus.

Justeru, Dr Ahmad Razin minta penduduk Kelantan supaya meluangkan masa untuk memeriksa kediaman masing-masing bagi mengelak wabak berkenaan semakin berlarutan.

"Pada 2014, Kelantan menjadi negeri kedua tertinggi bagi kes denggi selepas Selangor di mana sebanyak 14,311 kes dilaporkan dengan 1,334 kes setiap minggu.

"Bagaimanapun, pada 2015 menerusi pelbagai langkah dan usaha mencegah dilakukan, kita berjaya menurunkan kes demam denggi iaitu hanya 2,580 kes dilaporkan.

"Jadi, kita mahu semua penduduk bersatu dan sentiasa mengadakan gotong-royong supaya kes denggi di Kelantan seperti tahun 2014 tidak berulang," katanya ketika berucap pada Program Gotong-Royong Perdana peringkat jajahan Kota Bharu di Kampung Sungai Keladi.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat, Kesihatan, Alam Sekitar dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Kelantan, Dr Ramli Mamat.

Berita Harian X