Isnin, 4 April 2016 | 6:52pm

Festival Silat Antarabangsa Kelantan 2016 bermula Jumaat

PENGERUSI Jawatankuasa Kebudayaan Pelancongan dan Warisan Negeri Mejar (B) Datuk Md Anizam Abdul Rahman (tengah) bersama Pengerusi WARIS yang juga Guru Utama Pertubuhan Seni Silat Lintau, Dr Kamal Shah Abdullah Zawawi (dua dari kiri), Timbalan Pengerusinya, Mohd Fauzi Abd Aziz (dua dari kanan), Guru Utama Pertubuhan Seni Silat Gayongman Segerak Kelantan, Shafie Husin (kanan) dan Ketua Penolong Setiausaha (Pelancongan dan Kebudayaan) negeri, Mohd Sabilly Mohd Ramli @ Annuar (kiri) menunjukkan gaya seni silat selepas sidang media penganjuran Festival Silat Antarabangsa sempena Tahun Melawat Kelantan (TMK) 2016 di Bilik Mesyuarat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Komplek Kota Darul Naim, Kota Bharu. - Foto Mohd Faris Zainuldin

KOTA BHARU: Kerajaan negeri akan menganjurkan Festival Silat Antarabangsa Kelantan 2016 selama tiga hari bermula Jumaat ini sebagai usaha menarik pelancong asing melawat negeri ini sempena Tahun Melawat Kelantan (TMK) 2016.

Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan Pelancongan dan Warisan Kelantan, Datuk Md Anizam Abdul Rahman, berkata jumlah bilangan pelancong antarabangsa pada Januari tahun ini menunjukkan peningkatan sebanyak 12,000 orang iaitu dengan jumlah 500,000 berbanding 488,000 pada tahun lalu, bagi tempoh yang sama.

"Sepanjang tahun lalu, negeri ini menerima kunjungan sebanyak 5.2 juta pelancong luar negara dan tahun ini kami menyasarkan seramai enam juta pelancong akan berkunjung ke Kelantan.

"Antara faktor pelancong datang ke negeri ini adalah makanan yang menarik, harga barang murah dan juga kerana keindahan budaya yang tidak boleh didapati di tempat lain termasuk seni warisan silat," katanya pada sidang media, di sini, tadi.

Turut hadir, Ketua Penolong Setiausaha (Pelancongan dan Kebudayaan) Negeri, Mohd Sabilly Mohd Ramli @ Annuar; Pengerusi Pertubuhan Gabungan Seni Silat Warisan Nusantara (WARIS) merangkap Guru Utama Pertubuhan Seni Silat Lintau, Dr Kamal Shah Abdullah Zawawi; timbalannya, Mohd Fauzi Abd Aziz dan Guru Utama Pertubuhan Silat Seni Gayongman Segerak Kelantan, Shafie Husin.

Katanya, program itu akan membabitkan sebanyak 415 pengamal silat dari dalam negara dan luar negara termasuk Thailand, Indonesia, Austria dan Brazil.

"Program silat ini bukanlah satu pertandingan, tetapi ia lebih kepada persembahan kebudayaan seni silat untuk tatapan pelancong dan pengunjung. Kami menyasarkan program selama tiga hari ini berjaya mengumpul 10,000 pengunjung.

"Ini adalah kali ketiga program ini diadakan dan sebelum ini ia dikenali dengan nama Festival Seni Silat Nusantara," katanya.

Sementara itu, Kamal berkata, seni silat sering kali disalah tafsir oleh masyarakat sebagai satu sukan yang lasak namun ia sebenarnya adalah budaya Melayu.

"Seni silat adalah budaya kita dan wajib dipertahankan kerana keunikannya tidak boleh ditemui dalam sukan lain. Dalam usaha mempelajari silat, pesilat tidak boleh menggunakannya sesuka hati kecuali dalam keadaan terdesak untuk mempertahankan diri.

"Perkataan 'silat' berasal dari perkataan Arab iaitu 'asalah' yang bermaksud mendekatkan. Ia sekali gus melambangkan seni silat itu sendiri yang memerlukan pesilat untuk berada dekat dengan pihak lawan untuk menyerang," katanya.

Berita Harian X