Khamis, 31 March 2016 | 6:33pm

Sindiket curi kabel tembaga punca PAIP rugi

PEGAWAI Perhubungan Awam PAIP, Nurul Farhana Abdul Hamid melihat keadaan rumah pam air yang dipecah masuk di Indera Mahkota, Kuantan, hari ini. - Foto Mohd Rafi Mamat
PEGAWAI Perhubungan Awam PAIP, Nurul Farhana Abdul Hamid melihat keadaan rumah pam air yang dipecah masuk di Indera Mahkota, Kuantan, hari ini. - Foto Mohd Rafi Mamat

KUANTAN: Kabel tembaga penebat kilat pelbagai saiz di rumah pam air dan loji milik Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) menjadi sasaran sindiket yang mencuri untuk mendapatkan keuntungan mudah.

Pegawai Perhubungan Awam PAIP, Nurul Farhana Abdul Hamid, berkata siasatan pihaknya mendapati sindiket yang dipercayai didalangi enam individu itu mempunyai kemahiran dalam bidang elektrik kerana berupaya meleraikan kabel pam dan kotak suis elektrik.

Untuk masuk ke dalam kawasan rumah pam dan loji, katanya, suspek perlu memotong pagar serta jeriji tingkap premis berkenaan.

"Sindiket terbabit bergerak aktif pada sebelah malam dan dipercayai menggunakan enam kereta untuk mengangkut kabel yang dipotong, selain membuat halangan jalan masuk ke rumah pam dan loji.

"Kita percaya aktiviti dilakukan sindiket sama di semua daerah terbabit kerana taktik dan kaedah menceroboh digunakan hampir sama," katanya ketika melawat rumah pam air PAIP di Indera Mahkota, di sini, hari ini.

Nurul Farhana berkata, sebanyak 10 kes kecurian kabel tembaga penebat kilat pelbagai saiz di rumah pam air dan loji dikesan di lima daerah menyebabkan PAIP kerugian lebih RM277,000 dalam tiga bulan pertama tahun ini.

Beliau  berkata, Temerloh mencatat jumlah tertinggi iaitu empat kes diikuti Maran (tiga), Bera (dua) dan Bentong (satu).

Sementara itu, katanya, antara tahun 2014 hingga 2016, sebanyak 24 kes kecurian kabel di rumah pam dan loji air dilaporkan, menyebabkan PAIP mengalami kerugian RM678,000.

Beliau berkata, lima kes berlaku di daerah ini dan Maran menyebabkan kerugian RM133,000 pada tahun 2015, manakala sembilan kes di daerah ini, Temerloh, Maran, Pekan, Bera dan Jerantut hingga menyebabkan kerugian RM268,000 tahun lalu.

"PAIP terpaksa menggunakan kabel aluminium bagi memastikan kes kecurian kabel tembaga penebat kilat tidak terus berlaku di rumah pam dan loji air.

"Kita juga mengharapkan kerjasama pengguna untuk melaporkan kepada Pusat Khidmat Pelanggan (PULAPEL) PAIP di talian 09 5739999 jika melihat sebarang kegiatan mencurigakan di rumah pam dan loji air," katanya.

Berita Harian X