Jumaat, 19 Februari 2016 | 8:02pm

Pelajar pengsan di puncak Bukit Keluang

ANGGOTA JPAM Besut mengusung mangsa pelajar yang pengsan di puncak Bukit Keluang, untuk dibawa turun ke pantai Bukit Keluang. - Foto Mohamad Ishak
ANGGOTA JPAM Besut mengusung mangsa pelajar yang pengsan di puncak Bukit Keluang, untuk dibawa turun ke pantai Bukit Keluang. - Foto Mohamad Ishak

Jertih: Seorang pelajar perempuan yang mendaki Bukit Keluang pengsan akibat keletihan sebaik tiba di puncak, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, Nurul Faritin Farhana Mat Nor, 20, terpaksa dipapah turun dari puncak bukit setinggi 141 meter itu oleh rakannya yang mendapatinya tidak sedar diri ketika berada di puncak bukit berkenaan.

Difahamkan, pelajar Politeknik Kota Bharu, Kelantan itu tiba-tiba rebah ketika tiba di puncak bukit itu sebelum dapat melihat keindahan panorama Pantai Bukit Keluang.

Rakannya yang terkejut melihat keadaan itu bergegas memapah pelajar terbabit untuk turun bagi mendapatkan bantuan kecemasan.

Bagaimanapun, tindakan pantas Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) tiba ke lokasi mempercepatkan proses membawa mangsa turun dari bukit berkenaan sebelum dihantar ke Hospital Besut.

Pegawai Pertahanan Awam Besut, Suhaimi Awang, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan anggota pasukan bergegas ke lokasi untuk memberikan bantuan mangsa.

Katanya, ia kes pertama mangsa pengsan di puncak bukit terbabit selepas pelancaran Fit Bukit Keluang, oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, pada Sabtu lalu.

Berita Harian X