Rabu, 17 Februari 2016 | 6:07pm

4 polis 1 sekolah di seluruh Bachok

KETUA Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan, Abdul Hamid Che Ahmad (tiga daripada kiri, depan) beramah mesra dengan sebahagian pelajar dan warga sekolah sempena Majlis Perlantikan Badan Pembantu Tadbir di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putri Saadong, Bachok. - Foto Nor Amalina Alias
KETUA Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan, Abdul Hamid Che Ahmad (tiga daripada kiri, depan) beramah mesra dengan sebahagian pelajar dan warga sekolah sempena Majlis Perlantikan Badan Pembantu Tadbir di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putri Saadong, Bachok. - Foto Nor Amalina Alias

BACHOK: Program Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus diperkasakan di peringkat daerah apabila menempatkan tiga hingga empat anggota polis di setiap sekolah di Bachok bermula tahun ini.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan, Abdul Hamid Che Ahmad, berkata sebelum ini, hanya seorang anggota polis dilantik sebagai PPS di 34 sekolah rendah dan 18 sekolah menengah di Bachok.

Katanya, anggota polis berpangkat inspektor dan ke atas akan menjadi wakil PPS di sekolah menengah, manakala sekolah rendah diwakili PPS oleh anggota polis berpangkat rendah, yang

berhubung secara terus dengan Pengetua dan Guru Disiplin di sekolah masing-masing.

"Program ini sebenarnya sudah lama diadakan, namun kita perkasakan dari semasa ke semasa. Tahun ini, kita mahu memberi tumpuan pada pendidikan lalu lintas " katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Pelantikan Badan Pembantu Tadbir di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putri Saadong, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, Assisten Superintendan Nor Hafizah Nor Hamid dan Pengetua SMK Putri Saadong, Ramli Dollah.

Abdul Hamid berkata, walaupun jenayah membabitkan pelajar di Bachok hanya lima peratus iaitu kes memiliki barangan motosikal curi, seksual dan kesalahan lalu lintas, pihaknya berharap ibu bapa turut memainkan peranan dalam membentuk generasi bebas jenayah.

Terdahulu, Abdul Hamid menyampaikan watikah pelantikan kepada 313 pengawas sekolah, pengawas pusat sumber sekolah, pengawasan asrama dan Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) di sekolah berkenaan.

Sementara itu, Ramli pula berkata, sejak program PPS diadakan di sekolah berkenaan lima tahun lalu, masalah disiplin pelajar berjaya diatasi selain tugas mendidik lebih mudah.

"Kita memang suka program (PPS), bila ada polis bersama, pihak sekolah rasa 'gagah' (ada sokongan) sikit nak bentuk disiplin pelajar masa kini, namun kita juga berharap ibu bapa memainkan peranan mereka," katanya.

Berita Harian X