Sabtu, 6 Februari 2016 | 8:58pm

Pembonceng maut motosikal rempuh lori

KOTA BHARU: Seorang lelaki maut manakala rakannya cedera selepas motosikal ditunggang merempuh belakang sebuah lori di Padang Kala di sini, petang tadi.

Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, pembonceng, Norzailan Zaidin, 24, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala.

Saksi kejadian, Kamarudin Omar, 45, berada di kedai makan miliknya tidak jauh dari lokasi kejadian.

"Saya terkejut mendengar dentuman sebelum melihat sebuah motosikal terpelanting ke tengah jalan. Saya nampak dua lelaki terbaring dan cuba membantu seorang mangsa yang tidak sedarkan diri," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Beliau berkata, pemandu lori terbabit baru keluar dari kedai dan mengundurkan kenderaan menghala ke jalan besar sebelum dirempuh motosikal terbabit.

Bapa saudara Norzailan, Mohd Rasyid Yusof, 42, berkata anak saudaranya keluar rumah untuk mengambil motosikal yang siap dibaiki di sebuah kedai.

"Norzailan sepatutnya menyertai konvoi bersama rakan kelab motosikal LC ke Ipoh, Perak pagi esok," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Baharom Abu ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Berita Harian X