Selasa, 12 Januari 2016 | 3:07pm

Kes denggi menurun di Pahang

KUANTAN: Pahang mencatat penurunan 17 kes demam denggi atau 15.7 peratus kepada 91 kes pada minggu pertama tahun ini, berbanding 108 kes dalam tempoh sama pada tahun 2015.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar, berkata sehingga 9 Januari lalu, Kuantan mencatat kes demam denggi tertinggi iaitu 42 kes (46.1 peratus), Temerloh 17 kes (18.7 peratus ), Bentong dan Maran masing-masing lapan kes (8.8 peratus), Jerantut  lima kes (5.5 peratus), Bera empat kes (4.4 peratus), Raub tiga kes (3.3 peratus), Rompin 2 dua kes (2.2 peratus ) dan Pekan serta Lipis satu kes (1.1 peratus).

Tiada kes dicatat di Cameron Highlands.

Bagi tempoh sama, katanya, enam wabak aktif di Pahang membabitkan dua lokaliti masing-masing dalam daerah Kuantan dan Temerloh serta satu lokaliti di  Jerantut dan Bentong.

Katanya, lokaliti wabak di daerah Kuantan adalah tiga kes di Kampung Tanah Putih, Bukit Setongkol (dua) manakala lokaliti di Temerloh ialah Kampung Baru Kuala Krau (dua) dan Taman Saga (tiga).

Beliau berkata, enam kes demam denggi turut dikesan di satu lokaliti di Kampung Sungai Dua-Cina, Bentong dan Taman Koperasi, Jerantut (satu).

"Cuaca hujan dan panas silih berganti akan menyebabkan pembiakan aedes dalam bekas berisiko yang dibuang merata-rata.

"Keadaan ini mungkin ada kaitan dengan peningkatan bekas berisiko yang dibuang di sekitar kediaman atau sekeliling rumah manakala pembuangan sampah-sarap di tanah lapang atau lot kosong juga menyumbang pembiakan aedes.

"Gabungan faktor berkenaan dan sikap negatif orang ramai berkaitan penjagaan kebersihan di sekitar rumah masing-masing boleh menyumbang kepada deman denggi meluas dan sukar dikawal," katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Dr Zainal Arifin berkata, bagi tempoh sembilan hari sehingga 9 Januari lalu, jabatan melaksanakan tindakan pencegahan dan kawalan kes demam denggi dengan melakukan semburan kabus ke atas 9,066 premis dan pemeriksaan pembiakan aedes ke atas 4,254 premis.

Sementara itu, katanya, sebanyak 1,488 premis diletak abate bagi pemusnahan jentik-jentik.

Berita Harian X