Selasa, 29 Disember 2015 | 6:22pm

Mangsa banjir di Kemaman meningkat petang ini

TINJAUAN unit udara JBPM Subang dan JBPM Terengganu di Kampung Seberang Tayor, Kemaman. - Foto Ihsan JBPM.
TINJAUAN unit udara JBPM Subang dan JBPM Terengganu di Kampung Seberang Tayor, Kemaman. - Foto Ihsan JBPM.

KUALA TERENGGANU: Jumlah mangsa banjir di Kemaman meningkat kepada 1,332 orang daripada 319 keluarga setakat jam 4 petang ini berbanding 997 orang daripada 247 keluarga pada tengah hari.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Banjir Negeri (JPBN), bagi keseluruhan Terengganu, mangsa yang terlibat ialah 1,690 orang daripada 442 keluarga yang ditempatkan di 19 pusat pemindahan.

Di Kemaman, mangsa banjir ditempatkan di 14 pusat pemindahan manakala di Dungun, 358 orang daripada 123 keluarga ditempatkan di lima buah pusat pemindahan.

Bagaimanapun keadaan banjir di Hulu Terengganu dan Marang sudah surut dengan kesemua lapan pusat pemindahan di kedua-dua daerah telah ditutup pada 4.15 petang tadi.

Keadaan cuaca petang ini dilaporkan cerah. - BERNAMA

Berita Harian X