Ahad, 2 Julai 2017 | 9:44pm

JPJ Melaka keluarkan 716 saman

ANGGOTA JPJ memeriksa motosikal yang ditahan dalam Ops Hari Raya Aidilfitri 2017 di Jalan Ayer Keroh Lama. - Foto Muhamad Hatim Ab Manan
ANGGOTA JPJ memeriksa motosikal yang ditahan dalam Ops Hari Raya Aidilfitri 2017 di Jalan Ayer Keroh Lama. - Foto Muhamad Hatim Ab Manan

AYER KEROH: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka mengeluarkan sejumlah 716 saman sepanjang 10 hari Ops Hari Raya Aidilfitri 2017 yang berakhir hari ini.

Pengarah JPJ negeri, Mohd Fadhil Hasan, berkata operasi yang bermula 23 Jun lalu menyaksikan sebanyak 4,892 jumlah kenderaan diperiksa membabitkan kereta, motosikal, bas dan lori di sekitar negeri ini.

"Dalam tempoh itu juga sebanyak 478 jumlah kenderaan diambil tindakan dengan pengguna motosikal paling banyak diambil tindakan.

"Malah, JPJ turut mengeluarkan sebanyak 207 notis bagi lain-lain kesalahan," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau berkata, sebanyak tiga lokasi pemeriksaan utama dilakukan anggota penguatkuasaan JPJ di negeri ini termasuklah di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (Lebuh AMJ), Pengkalan Rama dan Jalan Ayer Keroh Lama.

"Sepanjang dua minggu Ops Hari Raya Aidilfitri 2017 ini juga, seramai 600 anggota penguat kuasa JPJ berkhidmat dengan kekuatan 189 kenderaan," katanya.

Sementara itu, dalam operasi terakhir yang berlangsung selama tiga jam di Jalan Ayer Keroh Lama, di sini, petang tadi, antara kesalahan dilakukan pengguna jalan raya termasuklah gagal mempamerkan cukai jalan, cukai jalan tamat tempoh, tidak memiliki lesen memandu dan penggunaan cermin gelap.

 

Berita Harian X