Rabu, 28 Jun 2017 | 3:36pm

3 pusat pemindahan sementara ditutup, mangsa banjir berkurang

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir sambil diperhatikan Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Melaka (JPBN), Leftenan Kolonal (PA) Effendy Ali (dua dari kiri) di Pusat Pemindahan Banjir Sekolah Kebangsaan (SK) Tehel, semalam. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

MELAKA: Tiga daripada empat pusat pemindahan sementara (PPS) di dua daerah di negeri ini ditutup susulan keadaan banjir yang pulih.

Ketua Sekretariat Jabatan Pengurusan Bencana Melaka, Leftenan Kolonel (PA) Effendy Ali, berkata PPS Balai Raya Bukit Tambun ditutup tengah hari semalam manakala Balai Raya Bukit Balai dan Balai Raya Kampung Pulau di Durian Tunggal, Alor Gajah, pada jam 2 petang hari ini.

Bagaimanapun, Sekolah Kebangsaan (SK) Tehel di Jasin masih beroperasi dengan menempatkan 81 mangsa daripada 18 keluarga.

"Jumlah mangsa banjir di PPS di negeri ini susut daripada 149 orang pada hari kedua Aidilfitri kepada 81 orang, hari ini," katanya.

Hujan lebat berterusan sejak tengah malam Isnin lalu, menyebabkan 149 penduduk sekitar daerah Alor Gajah dan Jasin terpaksa meraikan hari kedua Aidilfitri di PPS selepas kediaman masing-masing dilanda banjir.

Bencana itu menjejaskan penduduk Kampung Bukit Tambun, Padang Kerbau, Pekan Durian Tunggal, Padang Keladi, Kampung Pulau, Parit Melana dan Belimbing Dalam di Alor Gajah serta Tanjong Laboh dan Parit Lambong di Jasin.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron, turut meninjau keadaan mangsa banjir di Tehel selain wakil rakyat di kawasan masing-masing.

Berita Harian X