Khamis, 27 April 2017 | 9:00pm

PR1MA bina 23,000 rumah di Melaka

KETUA Pegawai Operasi PR1MA, Datuk Ar Aminuddin Abdul Manaf. - Foto Saddam Yusoff
KETUA Pegawai Operasi PR1MA, Datuk Ar Aminuddin Abdul Manaf. - Foto Saddam Yusoff

KUALA LUMPUR: Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) akan membina 23,000 unit kediaman pada harga berpatutan di Melaka, dengan anggaran nilai pembangunan kasar RM4.6 bilion.

Daripada jumlah itu, 11,285 unit kini dalam pelbagai peringkat pembinaan dengan projek pembangunan bukan saja tertumpu di pusat bandar, malah di sekitar Alor Gajah, Melaka Tengah, Kelebang dan Masjid Tanah.

Ketua Pegawai Operasi PR1MA, Datuk Ar Aminuddin Abdul Manaf, berkata permintaan untuk perumahan PR1MA di Melaka amat memberangsangkan berdasarkan data pendaftaran dan permohonan setakat ini.

"Melihat kepada pembangunan pesat di Melaka, memang terdapat permintaan yang meningkat untuk perumahan berkualiti pada harga berpatutan, khususnya untuk golongan M40 di negeri berkenaan.

"Penawaran projek PR1MA di Melaka amat tepat pada masanya untuk memenuhi keperluan perumahan golongan berkenaan di negeri terbabit," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Aminuddin berkata, daripada 1.4 juta jumlah terkini rakyat Malaysia yang mendaftar dengan PR1MA, 46,377 daripadanya adalah di Melaka.

Katanya, PR1MA bukan hanya membina perumahan, malah bertanggungjawab mewujudkan persekitaran kehidupan yang berkualiti, kondusif dan harmoni.

"Berikutan permintaan yang meningkat di Melaka, PR1MA akan mengadakan Hari Terbuka PR1MA (POD) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) pada 29 dan 30 April ini.

"Pada acara itu, kami akan mengetengahkan dua projek perumahan berbentuk apartmen iaitu PR1MA@Melaka Tengah 1 di Jalan Tun Perak dan PR1MA@Melaka Tengah 2 di Jalan Pokok Mangga," katanya.

Beliau berkata, acara terbabit akan bermula pada jam 9 pagi hingga 5 petang dan menjadi pusat sehenti memudahkan proses pembelian rumah.

Berita Harian X