Selasa, 7 March 2017 | 4:20pm

Tanah perkuburan diceroboh

KETUA Komuniti India Taman Mutiara Bukit Raja, S Kumarvel (kanan) ditemuramah wartawan di Klang, hari ini. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat
KETUA Komuniti India Taman Mutiara Bukit Raja, S Kumarvel (kanan) ditemuramah wartawan di Klang, hari ini. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

KLANG: Penduduk Taman Mutiara, Bukit Raja di sini, kecoh sebaik mendapati kira-kira 50 kubur di Tanah Perkuburan India Ladang Boon Hean dikorek dan dipindahkan tanpa pengetahuan mereka.

Ketua Komuniti India Taman Mutiara Bukit Raja, S Kumarvel, berkata kubur masyarakat India itu dipercayai dikorek sejak tiga bulan lalu dan tiada perbincangan mengenainya dilakukan antara pemaju dengan penduduk.

Selepas mengetahui kawasan kubur berkenaan akan menjadi laluan bagi projek Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (Banting-Taiping), katanya, penduduk meletakkan papan tanda sebagai menunjukkan ia kawasan kubur.

"Mesyuarat pertama bersama pemaju adalah kira-kira tiga bulan lalu dan mereka berjanji kawasan itu tidak akan disentuh.

"Kami percaya dengan janji mereka sehinggalah pemindahan kubur disedari waris yang menziarah pusara di kawasan itu," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, tindakan pemaju dan kontraktor yang tidak mengambil berat sensitiviti penduduk dan waris boleh menimbulkan kekecohan.

Kumarvel berkata, ramai waris tidak mengetahui mengenai pencerobohan itu dan pihaknya bimbang timbul masalah jika mereka tidak berpuas hati dengan keadaan berkenaan.

Katanya, berdasarkan kedudukan papan tanda yang diletak penduduk, kira-kira 50 meter kawasan kubur berkenaan sudah dikorek dan mereka buntu mengenai lokasi baharu kubur yang dipindahkan.

"Kita tidak menghalang pembangunan tetapi jika membabitkan sensitiviti agama, ia harus dibincang terlebih dulu supaya tiada pihak berasa dianiaya.

Seorang waris, R Sellan, 64, terkejut melihat tanah perkuburan berusia lebih 60 tahun itu dikorek ketika ingin menziarah kubur bapa saudaranya tiga hari lalu.

"Saya sedih kerana tidak dimaklumkan mengenai perkara ini.

"Bagaimana saya harus memberitahu anak mendiang kawasan perkuburan bapa mereka dikorek dan saya tidak tahu ke mana ia dipindahkan?

"Saya harap perbincangan dapat dilakukan segera antara penduduk, waris dan pemaju supaya isu ini tidak berlarutan," katanya.

Berita Harian X