Selasa, 21 Februari 2017 | 2:58pm

DUKE, KESTURI anjur kempen keselamatan jalan raya

PENGARAH Projek KESTURI, Zakaria Shaffie. - Foto Eizairi Shamsudin
PENGARAH Projek KESTURI, Zakaria Shaffie. - Foto Eizairi Shamsudin

KUALA LUMPUR: Pemegang konsesi Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) bersama Konsortium Lebuhraya Utara-Timur (KL) Sdn Bhd (KESTURI) menganjurkan Kempen Kesedaran Keselamatan Jalan Raya DUKE 2017 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Gombak, di sini.

Kempen bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar mengenai kemalangan jalan raya, sekali gus membantu mengurangkan kes kemalangan membabitkan golongan itu.

Pengarah Projek KESTURI, Zakaria Shaffie, berkata pihaknya menyedari bahawa belia adalah antara penunggang motosikal paling banyak yang terbabit kemalangan jalan raya.

"Jadi kita mengambil inisiatif melaksanakan kempen ini bagi memupuk budaya keselamatan jalan raya dalam kalangan belia yang rata-ratanya adalah pelajar sekolah," katanya ketika merasmikan kempen itu, hari ini.

Pada majlis itu, KESTURI turut memberi sumbangan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru SMK Seri Gombak.

Penceramah daripada Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur turut menyampaikan ceramah di majlis berkenaan.

Berita Harian X