Jumaat, 3 Februari 2017 | 6:24pm

Kes denggi di Melaka menurun

PENGARAH Kesihatan Negeri, Datuk Dr Ghazali Othman, diiringi Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Amirullah Mohd Arshad (tengah) dan Pegawai Kesihatan Daerah Melaka Tengah, Dr Rusdi Abd Rahman, merasmikan Majlis Pelancaran Mobile Truck Dengue Bustet di Dewan Tuah, Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Melaka, Bukit Baru. - Foto Norizzah Baharudin
PENGARAH Kesihatan Negeri, Datuk Dr Ghazali Othman, diiringi Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Amirullah Mohd Arshad (tengah) dan Pegawai Kesihatan Daerah Melaka Tengah, Dr Rusdi Abd Rahman, merasmikan Majlis Pelancaran Mobile Truck Dengue Bustet di Dewan Tuah, Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Melaka, Bukit Baru. - Foto Norizzah Baharudin

MELAKA: Melaka mencatatkan sebanyak 206 kes baharu demam denggi bermula 1 Januari lalu hingga hari ini, iaitu menurun sebanyak 93 kes atau 45 peratus, berbanding 299 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Ghazali Othman, berkata daripada jumlah itu, sebanyak 154 kes direkodkan di daerah Melaka Tengah, manakala 30 kes di Alor Gajah dan 22 kes di Jasin.

Sehubungan itu, katanya, Jabatan Kesihatan negeri mengambil inisiatif melaksanakan 'Mobile Truck Dengue Buster' bertujuan memberi pendidikan dan promosi kesihatan bagi mencegah denggi kepada orang ramai.

"Mobile Truck Dengue Buster adalah yang pertama di negara ini dan ia akan beroperasi mengikut keperluan, sekali gus mendekati masyarakat dan memberikan penerangan melalui visual yang disediakan.

"Ia juga bertujuan untuk mendidik, selain menggalakkan masyarakat bertindak secara proaktif dalam usaha pencegahan demam denggi serta mendengar sendiri kesan wabak ini.

"Pasukan ini turut akan mengadakan siri jelajah ke 39 sekolah menengah di daerah Melaka Tengah bermula minggu depan," katanya.

Beliau berkata demikian pada perhimpunan bulanan Pejabat Kesihatan Daerah Melaka Tengah dan Majlis Pelancaran Mobile Truck Dengue Buster di Dewan Tuah, Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Melaka, Bukit Baru di sini, hari ini.

Terdapat tiga lokaliti denggi yang masih aktif di daerah Melaka Tengah iaitu di Jalan Raja Haji, Telok Mas; Taman Seri Duyong dan Taman Bukit Terendak, Sungai Udang, di sini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah Kesihatan negeri, Dr Amirullah Mohd Arshad dan Pegawai Kesihatan Daerah Melaka Tengah, Dr Rusdi Abd Rahman.

Berita Harian X