Khamis, 2 Februari 2017 | 1:19am

913 saman dikeluarkan Ops Khas Motosikal JPJ

TIMBALAN Pengarah Pengurusan JPJ, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman (tiga dari kanan) bersama Pengarah JPJ Selangor, Nazli Md Taib (empat dari kanan) memeriksa penunggang motosikal ketika sekatan jalan raya sempena Ops Tahun Baharu Cina di Plaza Tol Datuk Harun. Foto Muhd Zaaba Zakeria
TIMBALAN Pengarah Pengurusan JPJ, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman (tiga dari kanan) bersama Pengarah JPJ Selangor, Nazli Md Taib (empat dari kanan) memeriksa penunggang motosikal ketika sekatan jalan raya sempena Ops Tahun Baharu Cina di Plaza Tol Datuk Harun. Foto Muhd Zaaba Zakeria

PETALING JAYA: Sejumlah 913 saman dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terhadap 553 penunggang motosikal di seluruh Selangor atas pelbagai kesalahan jalan raya sepanjang tiga siri Ops Khas Motosikal sempena Perayaan Tahun Baharu Cina 2017, setakat tengah malam tadi.

Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) JPJ, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman, berkata tiada lesen memandu masih kekal menjadi kesalahan paling tinggi dilakukan penunggang motosikal dengan jumlah 432 saman.

Kesalahan kedua tertinggi membabitkan cukai jalan dengan 440, diikuti kesalahan teknikal (32) dan lain-lain kesalahan (9).

Beliau berkata, angka itu jelas menunjukkan tahap kesedaran penunggang untuk memiliki lesen masih rendah walaupun pelbagai inisiatif dilakukan kerajaan, termasuk memperkenalkan program Mylesen.

"Selain menjalankan operasi ke atas semua jenis kenderaan secara menyeluruh, JPJ turut mengadakan operasi khas untuk motosikal kerana penunggang motosikal masih menjadi penyumbang tertinggi kemalangan.

"Menerusi operasi ini, diharap dapat memberi kesedaran kepada mereka untuk menjadi penunggang yang lebih bertanggungjawab dan mempunyai lesen sah," katanya pada sidang media selepas operasi di Plaza Tol Taman Dato' Harun, di sini.

Operasi bermula jam 8.30 malam dan berakhir jam 12 tengah malam tadi membabitkan 62 pegawai dan anggota JPJ dengan turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Dalam operasi itu, sebanyak 256 saman dikeluarkan dan pihaknya menyita 10 buah motosikal.

Turut ditahan lima lelaki berusia antara 19 hingga 40 tahun selepas saringan air kencing mereka positif dadah jenis syabu dan ganja.

Berita Harian X