Isnin, 16 Januari 2017 | 3:32pm

PDRM, ATM gabung tenaga

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah (dua dari kiri) diiringi Pegawai Pemerintah Batalion 24 RAMD Kem Rasah, Leftenan Kernel Mohd Fauzi Khamis (kiri) mendekati pelancong bagi menghebahkan mengenai perkhidmatan dalam Ops Ledak dan Ops Kawal di Bandar Hilir. - Foto Nor Shafinaz Sari
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah (dua dari kiri) diiringi Pegawai Pemerintah Batalion 24 RAMD Kem Rasah, Leftenan Kernel Mohd Fauzi Khamis (kiri) mendekati pelancong bagi menghebahkan mengenai perkhidmatan dalam Ops Ledak dan Ops Kawal di Bandar Hilir. - Foto Nor Shafinaz Sari

MELAKA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melaksanakan rondaan keselamatan, terutama di kawasan tumpuan ramai dan pelancong bagi memberi keyakinan terhadap keselamatan di negeri ini.

Rondaan membabitkan seramai 32 anggota, masing-masing 16 daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah dan Batalion 24 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) ATM Kem Rasah, Seremban, Negeri Sembilan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah, berkata rondaan itu dijalankan serentak di tiga lokasi iaitu di bandar Pulau Pinang, Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang dan bandar Melaka.

"Rondaan operasi di negeri ini disasarkan kepada lokasi tumpuan pelancong, antaranya Jalan Merdeka, Jalan Jonker, Jalan Kota Laksamana, Jalan Bunga Raya dan Banda Kaba, tidak mengira waktu siang mahupun pada sebelah malam.

"Ia (rondaan) dilakukan secara berjalan kaki, menggabungkan kedua-dua anggota dari dua pasukan keselamatan, bertujuan meyakinkan pengunjung bahawa PDRM dan ATM serius dalam mengawasi aspek keselamatan di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas pelancaran Rondaan Ops Ledak dan Ops Kawal PDRM dan ATM di Bangunan Merah, Banda Hilir di sini, hari ini. Yang turut hadir, Pegawai Pemerintah Batalion 24 RAMD Kem Rasah, Leftenan Kolonel Mohd Fauzi Khamis.

Shaikh Abdul Adzis, berkata pengunjung tidak perlu berasa cemas atau berfikiran negatif apabila melihat kemunculan anggota polis dan tentera itu di sekitar kawasan tumpuan kerana ia adalah satu daripada inisiatif perkhidmatan yang profesional.

"Saya juga berharap masyarakat memberi kerjasama kepada anggota pasukan keselamatan dalam menyalurkan maklumat sekiranya terdapat kejadian tidak diingini berlaku," katanya.

Berita Harian X