Jumaat, 6 Januari 2017 | 12:54pm

Guru wanita ditemui meninggal dunia dalam tandas

Anggota polis mengusung mayat, S Valli, 52, di kediaman mangsa di Taman Angkasa Nuri, di sini malam tadi.
Anggota polis mengusung mayat, S Valli, 52, di kediaman mangsa di Taman Angkasa Nuri, di sini malam tadi.

ALOR GAJAH : Seorang guru wanita ditemui meninggal dunia dipercayai beberapa hari di kediamannya di Taman Angkasa Nuri, di sini, malam tadi.

Mayat S Valli, 52, ditemui dalam keadaan tersungkur dan tidak berpakaian di dalam tandas bilik tidurnya, kira-kira jam 10.30 malam.

Adik mangsa, S Siva, 44, berkata beliau dimaklumkan kakaknya yang juga wanita bujang itu sudah beberapa hari tidak keluar dari rumah dan keadaan lampu terpasang kira-kira tiga hari.

"Jiran kakak menghubungi saya mengenainya. Saya cuba menghubungi kakak melalui telefon bimbit dan talian di rumahnya, namun tidak dijawab.

"Kami cuba mencarinya dalam rumah dan memecahkan pintu tandas di biliknya, sebelum menemui mangsa," katanya ketika ditemui.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan A Asmadi Abd Aziz ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

"Mangsa tinggal bersendirian di rumahnya dan keluarga beliau selalu menghubunginya untuk bertanya keadaan, namun panggilan tidak dijawab beberapa hari kebelakangan ini.

"Siasatan awal mendapati, mangsa menghidap penyakit kanser usus dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,"katanya.

Berita Harian X