Selasa, 3 Januari 2017 | 4:15pm

PBT perlu sediakan lebih banyak lintasan zebra, pengawal

Oleh Faris Fuadfaris

fuad@bh.com.my

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) Tan Sri Lee Lam Thye. - Foto NSTP/Edmund Samunting
Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) Tan Sri Lee Lam Thye. - Foto NSTP/Edmund Samunting

KUALA LUMPUR: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu menyediakan lebih banyak lintasan zebra dan pengawal berhampiran pintu sekolah bagi memastikan keselamatan pelajar.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata ia perlu disertakan dengan sistem penguatkuasaan yang ketat, selain diwujudkan satu garis panduan untuk pengguna jalan raya memperlahankan atau menghentikan kenderaan mereka.

"Dengan bilangan pelajar yang semakin meningkat, kita tidak boleh mengabaikan kepentingan menyediakan persekitaran yang selamat dan sihat untuk mereka (pelajar) di sekolah.

"Pada masa sama, kita juga perlu memastikan keselamatan pelajar dijaga semasa pergi dan balik dari sekolah," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain itu, Lam Thye berkata, Pegawai Perhubungan Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga perlu melakukan tinjauan di kawasan sekolah secara lebih kerap.

Katanya, wakil PDRM boleh berinteraksi dengan murid dan guru di sekolah bagi mengelakkan mereka terbabit dalam gejala buli, gangterisme, penyalahgunaan dadah dan maksiat.

"Malah, mengikut laporan yang diterima, pengedar dadah akan merekrut pelajar sekolah untuk mendapatkan lebih ramai pelanggan. Susulan itu, satu lagi cadangan NIOSH adalah kaunselor sekolah diberikan latihan khusus untuk menangani isu ini," katanya.

Mengenai penyediaan makanan di kantin sekolah, Lam Thye berkata, hanya pengusaha kantin yang mempunyai rekod baik, selain mengamalkan penyediaan makanan yang bersih dan selamat wajar diberikan kontrak untuk beroperasi di sekolah.

"Guru dan ibu bapa juga perlu diberi pendedahan mengenai keselamatan makanan. Malah, antara resolusi NIOSH tahun ini adalah membantu menjadikan sekolah sebagai tempat yang sihat dan selamat untuk guru, pelajar, kakitangan serta pelawat," katanya.

Berita Harian X