Sabtu, 24 Disember 2016 | 4:19pm
ANTARA basikal yang dirampas di sebuah kedai menjual barangan terpakai.
ANTARA basikal yang dirampas di sebuah kedai menjual barangan terpakai.

Polis tumpas geng curi basikal

ANTARA basikal yang dirampas di sebuah kedai menjual barangan terpakai.
ANTARA basikal yang dirampas di sebuah kedai menjual barangan terpakai.

TAMPIN: Polis menumpaskan geng yang aktif mencuri basikal di daerah ini sejak beberapa bulan lalu selepas menahan dua lelaki, semalam.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Hamazah Ab Razak, berkata pihaknya menahan seorang penganggur berusia 27 tahun yang memiliki rekod lampau berkenaan dadah di Taman Pedas Perdana, Rembau, dan pemilik kedai menjual barangan terpakai berusia 53 tahun di Seremban.

"Tangkapan itu adalah susulan laporan seorang lelaki di Taman Clonlee, di sini, pada Khamis lalu, mengenai kehilangan basikal jenis Mountain Bike bernilai RM1,000, yang dipercayai dilarikan tiga lelaki menggunakan sebuah kereta," katanya di sini, hari ini.

Hamazah berkata, susulan itu, polis mengesan kenderaan dinaiki tiga lelaki itu di sebuah rumah di Rembau, dan menahan suspek utama.

Katanya, penahanan itu turut membawa kepada penemuan tujuh basikal, mesin rumput dan kerusi taman yang semuanya bernilai RM5,000 dan dijual dengan harga RM100 setiap satu di kedai menjual barangan terpakai di Seremban.

"Polis masih memburu dua lelaki berusia 21 dan 24 tahun beralamat di Pedas, Rembau, iaitu rakan kepada suspek utama, yang kini direman selama empat hari sehingga Selasa ini," katanya.

Berita Harian X