Selasa, 22 November 2016 | 9:46am

3 penagih ditahan dalam Ops Ingkar AADK

ALOR GAJAH: Tiga penagih dadah berusia antara 51 hingga 56 tahun ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam Ops Ingkar di sekitar Masjid Tanah, di sini, malam tadi.

Tangkapan dilakukan sepasukan enam anggota penguat kuasa AADK bermula jam 10.30 malam hingga 1.45 pagi itu selepas mengesan tiga daripada empat suspek yang disasarkan di lokasi berbeza.

Pengarah AADK negeri, Mohd Yusof Kameh, berkata tangkapan dilakukan selepas ketiga-tiga suspek yang juga Orang Kena Pengawasan (OKP) gagal melapor diri di balai polis berhampiran, selain tidak mengikuti program.

"Ketika tangkapan dilakukan di lokasi terakhir di Pengkalan Balak kira-kira jam 12 tengah malam tadi, seorang daripada ahli keluarga suspek cuba memperdayakan anggota dengan mendakwa suspek tiada dalam rumah.

"Bagaimanapun, pemeriksaan mendapati suspek berusia 56 tahun itu berbaring dalam sebuah bilik," katanya ketika ditemui, hari ini.

Beliau berkata, Ops Ingkar bermula kelmarin hingga Jumaat ini bagi mengesan OKP yang melanggar syarat mengikut Seksyen 6(2)(c) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 atas kesalahan gagal melapor diri di balai polis.

"Malam kelmarin, empat suspek lelaki berusia 27 hingga 45 tahun ditahan di sekitar Rembia dan Kuala Linggi atas kesalahan sama.

"Kira-kira 400 OKP berdaftar di bawah AADK Daerah Alor Gajah dengan 312 daripadanya mengikuti program dan melapor diri dengan teratur, manakala selebihnya gagal berbuat demikian," katanya yang diiringi Pegawai AADK Daerah, Aliza Kasmin.

Berita Harian X