Khamis, 10 November 2016 | 5:07pm

Ribuan ikan mati di Sungai Bernam

ANTARA ribuan ikan yang mati akibat pencemaran di Sungai Bernam. - Foto Rosman Shamsudin
ANTARA ribuan ikan yang mati akibat pencemaran di Sungai Bernam. - Foto Rosman Shamsudin

TANJUNG MALIM: Ribuan ikan di Sungai Bernam, dekat sini, mati dipercayai akibat pencemaran sungai berkenaan, semalam.

Sungai itu turut membekalkan air ke enam kampung di Selangor yang bersempadan Perak.

Ketua Kampung Sungai Selisik, Ishak Ahmad, 50, berkata kejadian disedari oleh penduduk kampung dan nelayan sungai ketika mencari ikan.

Katanya, siasatan pihaknya bersama Ketua Super Perikanan Daerah Muallim, Saiful Zizuan Mahayudin, 41 serta dua ahlinya kemudian mendapati dakwaan itu benar dan banyak ikan terapung di tepi sungai.

Berikutan itu, katanya, pihaknya membuat laporan kepada Jabatan Perikanan Perak untuk dipanjangkan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk tindakan selanjutnya.

"Saya mewakili penduduk, terutama nelayan sungai kesal dengan perbuatan yang tidak bertanggungjawab ini kerana ia bukan sekadar mencemarkan air dan alam sekitar malah membunuh hidupan dalam sungai itu," katanya ketika dihubungi di sini, sebentar tadi.

Ishak berkata, pihaknya bimbang ribuan penduduk yang menggunakan sumber air dari sungai itu setiap hari akan turut terjejas jika tindakan tegas tidak diambil.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Perikanan negeri yang dihubungi, mengesahkan menerima aduan kematian ikan itu jam 11.45 pagi tadi.

"Arahan sudah dikeluarkan kepada pegawai Pejabat Perikanan Daerah Batang Padang untuk melakukan siasatan," katanya.

BH difahamkan, pegawai Jabatan Perikanan Daerah Tapah sedang menguji sampel air sungai yang diambil dekat Behrang di Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Selisik.

Berita Harian X